Prihatin terhadap kesukaran penjawat awam mendapat pembiayaan untuk memiliki rumah, kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan daripada RM80,000 kepada RM120,000.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata had kelayakan maksimum pula dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata wang proses pinjaman perumahan sebanyak RM100 dimansuhkan.

"Kedua-dua cadangan ini berkuat kuasa pada 1 Jan 2015," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga komited untuk terus mempertingkat pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan ketika ini, sebanyak 10,639 unit rumah mendapat kelulusan untuk projek berkenaan.

"Pada 2015, bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah, kerajaan bersetuju untuk membina 5,380 unit rumah lagi iaitu di Putrajaya sebanyak 1,600 unit, Bukit Jalil (1,530); Papar, Sabah (1,290) dan Bukit Pinang, Kedah (960)," katanya.

Di samping itu, Najib berkata kerajaan menambah baik PPA1M seperti menurunkan harga minimum rumah berkenaan yang kini RM150,000 kepada RM90,000 seunit dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi.

Selain itu, kerajaan menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000 serta menyediakan dana mudah cara sehingga 25 peratus daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai skim PPA1M.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyediakan RM500 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru dan petugas kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata sebanyak RM105 juta pula diperuntuk kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan di bawah program My Beautiful Malaysia membabitkan 126 lokasi.

"Keadaan rumah yang baik dan selesa didiami akan meningkatkan produktiviti penjawat awam," katanya.