Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakannya menghadiri Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah kali ke-30 di Tehran ,Iran baru-baru ini meskipun dikecam pelbagai pihak.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) menegaskan, perkara berkenaan perlu dinilai secara matang dan bukannya melemparkan tuduhan secara melulu.

Menurut Abdul Hadi, beliau mempunyai pendirian tegas dan lantang dalam menentang sebarang bentuk kezaliman dan penindasan yang berlaku di Timur Tengah termasuk di Syria, Yaman, Iraq dan Palestin.


“Saya tidak tunduk kepada mana-mana Kerajaan yang terpengaruh dengan Barat ataupun Timur, apa yang penting adalah Islam. Bila ada desakan ini, saya dah tulis surat kepada Persatuan Ulama Sedunia bahawa itu pendirian saya. Saya tidak terpengaruh dengan dasar Qatar, dengan dasar Arab Saudi, dengan dasar Emiriyah Arab Bersatu.

“Saya terkilan dengan negara-negara Teluk. Sidang dua minggu yang lalu, disertai oleh perdana menteri British. Apa kedudukan perdana menteri British? Adakah British ini anggota negara Teluk? Mengapa hadir dalam sidang ini? Sidang ini membuat resolusi untuk bersama menentang Iran, bukan menentang Israel. Ini apa makna? Ini satu perkara yang sangat kacau di Asia Barat,” kata Abdul Hadi selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rhusila, di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi, beliau sudah menghantar surat kepada Setiausaha Agung KUIS Syaikh Dr Ali Al-Qaradaghi empat hari lalu bagi memperjelaskan situasi sebenar berhubung kunjungannya ke Tehran baru baru ini.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan kecaman yang didakwa dibuat Presiden KUIS, Dr Yusuf Al-Qadrawi berikutan keadaan kesihatannya yang terlalu uzur.

“Saya sudah tulis surat dan saya bersedia untuk letak jawatan. Saya pegang jawatan itu bukan saya minta, saya tidak minta jawatan. Dia lantik saya. Saya tidak hadir pun Muktamar dia. Saya bersedia (ada berhubung secara peribadi dengan…). Ya, saya tulis surat, cukup dengan surat saya itu. Beliau (Yusuf Al-Qadrawi ) uzur. Beliau uzur, telinga tidak dengar, mata tak berapa nampak. Saya tidak tahu kenyataan dia tu benar ataupun tidak. Saya tidak tahu adakah (kenyataan datangnya) daripada beliau atau daripada orang lain,” kata Abdul Hadi lagi.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam Muktamar itu adalah perbincangan mengenai Palestin, isu minoriti Islam termasuk Rohingya serta menolak budaya mengkafirkan antara Syiah dan Sunni.

Menurut Abdul Hadi, beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik dunia secara menyeluruh sejak sekian lama dan menolak politik sempit yang gagal menilai sesuatu isu secara holistik.