MALAYSIA
Hafidz Roshdi kecewa hak jagaan dua anak kekal pada bekas isteri

Hafidz meluahkan rasa kecewa kerana gagal mendapatkan hak jagaan penuh.
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengekalkan perintah hak jagaan dua anak pelakon, Hafidz Roshdi kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Ringkasan AI
- Mahkamah mengekalkan hak penjagaan penuh dua anak Hafidz Roshdi kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, manakala Hafidz diberi hak lawatan dan bermalam semasa cuti persekolahan serta hak berhubung tanpa halangan.
- Hafidz meluahkan rasa kecewa kerana gagal mendapatkan hak jagaan penuh, memaklumkan kali terakhir bertemu anak-anak adalah dua tahun lalu dan berharap dapat berjumpa mereka dalam masa terdekat.
- Peguam Hafidz memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan Syariah dalam masa terdekat.
Bagaimanapun beliau berkata, hero drama 'Tundukkan Playboy Itu' diberi hak lawatan dan bermalam dengan anak-anaknya pada cuti persekolahan.
“Mahkamah memerintahkan plaintif diberikan hak untuk menghubungi mereka tanpa halangan daripada ahli keluarga mahu pun defendan.
“Pihak polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan perlu memberi kerjasama bagi memberikan perintah ini dapat dipatuhi,” kata hakim syarie.
Hafidz yang baharu menimang cahaya mata sulung bersama isteri keduanya, Athira Yuhada pada 13 Februari lalu, diwakili peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Hafidz meluahkan kekecewaan kerana gagal mendapatkan hak jagaan penuh terhadap dua anak yang kali terakhir ditemui pada dua tahun lalu.
Katanya, tidak pernah timbul isu dia mengabai anak-anak kerana pelbagai usaha dibuat untuk menemui mereka yang kini berada di luar negara.
“Sangat kecewa kerana mengharapkan keputusan berbeza namun saya menghormati keputusan mahkamah.
“Saya harap dapat jumpa anak-anak dalam masa terdekat, saya terlalu rindukan mereka, " katanya.
Sementara itu, Puteri Ummi Kartini berkata, berdasarkan keputusan terbabit, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di sini, dalam masa terdekat.
Pada 27 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan Hafidz bercerai dengan Nurul Shuhada dengan talak satu pada 22 Februari tahun sama.
Finalis Hero Remaja itu melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.
Sebelum itu, April tahun sama, Hafidz memfailkan permohonan hadanah dan interim dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami