MEKAH: Perkhidmatan kaunseling tidak seharusnya berdepan persepsi skeptikal dalam kalangan masyarakat, yang menganggap kaunseling sebagai tanda kelemahan emosi atau petanda seseorang itu “jauh daripada Tuhan”.
Pengurus Unit Kaunseling Tabung Haji, Azlina Abdul Hamid bagaimanapun menegaskan bahawa tanggapan tersebut perlu diperbetulkan kerana kaunseling di Mekah bukan bertujuan menggantikan ibadah atau bimbingan agama, sebaliknya membantu jemaah mengurus emosi agar mampu menunaikan ibadah dengan baik.
Advertisement
“Di sini, kami bukan datang untuk menghakimi. Kami hanya mahu membantu jemaah mengurus hubungan, emosi dan diri supaya mereka boleh kembali fokus kepada ibadah haji,” katanya ketika ditemu bual di sini.
Menurut Azlina, banyak kes jemaah yang kelihatan uzur atau tidak bermaya sebenarnya berpunca daripada tekanan emosi, bukan semata-mata masalah fizikal.
“Ada jemaah yang terlalu memikirkan bahawa dia sakit, lalu tubuhnya benar-benar menjadi lemah. Bila dirujuk kepada doktor, tiada masalah serius dikesan, tetapi secara mental dia sudah ‘mengalah’. Akibatnya, dia rasa tidak mampu ke masjid, malas beribadah dan akhirnya berasa bersalah,” jelasnya.
Katanya, dalam situasi sebegini, peranan kaunseling adalah untuk meningkatkan emosi jemaah, membina semula keyakinan diri dan menyedarkan tujuan asal mereka berada di Tanah Suci.
Azlina turut mengakui ada keadaan di mana jemaah lebih terbuka menerima nasihat daripada kaunselor berbanding pasangan sendiri.
Dalam pada itu Azlina berkata Unit Kaunseling TH memainkan peranan penting dalam membantu jemaah haji Malaysia mengurus tekanan emosi akibat perubahan persekitaran, cuaca dan rutin harian sepanjang berada di Tanah Suci, agar tumpuan terhadap ibadah dapat dikekalkan.
Katanya, perkhidmatan kaunseling yang disediakan bukan sekadar menangani masalah, sebaliknya bertujuan memberi sokongan emosi dan intervensi awal sebelum sesuatu isu memberi kesan kepada perjalanan ibadah jemaah.
Menurut beliau, unit berkenaan beroperasi sepanjang musim haji dengan kekuatan lapan petugas, melibatkan tiga kaunselor di Madinah dan lima di Mekah.
“Fungsi utama kami adalah memberi sokongan emosi kepada jemaah haji. Apabila jemaah berada di Tanah Suci, mereka berdepan perubahan geografi, cuaca serta rutin harian yang ketara dan ini boleh memberi kesan kepada emosi,” katanya.
Azlina menjelaskan, Unit Kaunseling TH menyediakan dua bentuk perkhidmatan utama iaitu sokongan emosi dan kaunseling profesional, yang dilaksanakan melalui beberapa pendekatan termasuk taklimat, lawatan bilik ke bilik serta sesi kaunseling individu.
Menurutnya, pasukan kaunseling terlibat secara langsung dalam taklimat ketibaan jemaah sama ada di Madinah atau Mekah bagi memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan.
“Kebiasaannya ramai jemaah tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan kaunseling. Apabila kita beri penerangan awal, mereka akan lebih memahami kepentingannya dan berasa lebih selesa untuk mendapatkan bantuan,” katanya.