Skip to main content

Malaysia

Akademi Semikonduktor KESUMA lonjak tenaga kerja kemahiran tinggi, kurang kebergantungan import cip

KSU KESUMA -- astro awani
Menurut Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusoff, Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) kini dalam proses pembangunan dan bakal ditawarkan kepada kumpulan yang berminat untuk mendapatkan pendedahan serta latihan dalam bidang semikonduktor. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Penubuhan Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) menjadi antara fokus utama kerajaan dalam memperkasa tenaga kerja berkemahiran tinggi, selari dengan sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara pada Jumaat.

Menurut Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, akademi berkenaan kini dalam proses pembangunan dan bakal ditawarkan kepada kumpulan yang berminat untuk mendapatkan pendedahan serta latihan dalam bidang semikonduktor.

Advertisement

"Inisiatif itu mencerminkan penekanan kerajaan terhadap sektor teknologi tinggi sejak tahun lalu, khususnya dalam usaha membina keupayaan tempatan menghasilkan cip sendiri dan kemahiran kecerdasan buatan (AI).

“Selama ini kita banyak bergantung kepada produk luar negara termasuk dalam penghasilan cip dan dengan adanya akademi ini, kita mahu melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu membangunkan sistem serta menghasilkan teknologi sendiri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada Jumaat.

Menurut beliau, penubuhan akademi itu dijangka memudahkan pelaksanaan agenda jangka panjang negara dalam industri semikonduktor, sekali gus membuka ruang kepada penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya, penyertaan syarikat-syarikat berkenaan membolehkan majikan mengenal pasti calon berkelayakan secara langsung bagi penempatan kerja, selain memberi peluang kepada pencari kerja mendapatkan maklumat terkini mengenai pasaran buruh.

"Orang ramai juga digalakkan menghadiri karnival tersebut bagi mendapatkan perkhidmatan nasihat kerjaya, peluang pekerjaan serta pendedahan terhadap perubahan dasar dan undang-undang buruh termasuk yang melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia  dan Human Resource Development Corporation.

"Sambutan Hari Pekerja tahun ini memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan tenaga kerja negara kekal relevan dan berdaya saing, khususnya dalam mendepani keperluan industri berasaskan teknologi tinggi," ujarnya.

Majlis yang disambut sehingga 3 Mei ini ialah platform bagi menghargai sumbangan besar tenaga kerja negara selain memperkukuh ekosistem kerjaya menerusi penawaran peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.

Bertemakan ‘Pekerja MADANI Kesuma Bangsa’, sambutan itu menghimpunkan lebih 15,000 warga kerja daripada sektor awam dan swasta dari seluruh negara.

Antara tarikan utama ialah Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan 4,000 kekosongan jawatan menerusi platform MYFutureJobs dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM16,000.

Selain sesi temu duga terus bersama majikan, karnival itu menyediakan khidmat bimbingan kerjaya serta penyertaan lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat.

Turut memeriahkan sambutan pastinya Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan, derma darah, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara serta pameran teknologi industri.

Must Watch Video