MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memastikan penyediaan makanan untuk jemaah haji Malaysia memenuhi kriteria serta syarat ditetapkan.

Lebih penting daripada itu, pihak TH tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan makanan bermula daripada penyediaan dan penyajian sehingga kepada penghantaran.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dalam menitikberatkan soal kebersihan, pegawai kesihatan daripada Unit Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan di tempat penyediaan makanan dan dapur yang berkenaan bagi memastikan kebersihan, kualiti dan keselamatan sajian untuk jemaah itu terjamin.

"Soal itu menjadi keutamaan kepada TH untuk dititikberatkan kerana pada akhirnya, itu semua perlu bagi memastikan sajian kepada jemaah Malaysia terjamin dan selamat sekali gus jemaah tidak jatuh sakit selepas menikmati hidangan yang disediakan," kata beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH.

Menurut beliau, Unit Kesihatan Awam itu akan membuat pemeriksaan mengejut ke semua dapur dan tempat penyediaan makanan sebanyak dua kali semasa operasi haji, iaitu sebelum dan selepas hari Wukuf.

"Banyak aspek kebersihan yang diambil kira semasa pemeriksaan fizikal dilakukan. Antaranya termasuk premis makanan, tempat stor meletakkan makanan, penyimpanan bahan mentah, sistem perparitan, pengurusan sisa, peralatan yang diigunakan.

"Ramuan yang digunakan juga turut diambil kira. Begitu juga bahan untuk memasak yang perlu dicuci dengan baik tetapi juga lantai, periuk, dinding dan segala kelengkapan lain. Ini sentiasa diberi keutamaan, bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini berlaku," tambah beliau.

Syed Saleh mengadakan tinjauan di salah sebuah dapur yang menyediakan makanan untuk jemaah haji Malaysia di Mekah.

Syed Saleh sebelum itu melawat tiga buah dapur yang dikhaskan untuk memasak makanan untuk 31,600 jemaah Malaysia iaitu Dapur Retaj, Al Salmi dan Dapur Al-Wafa, di Mekah.

Lapan dapur iaitu enam di Mekah dan dua di Madinah digunakan untuk menyediakan lebih 4,000 pek makanan sehari untuk sajian tengah hari dan malam kepada jemaah haji Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah supaya menghabiskan makanan dalam tempoh dua jam seperti yang tertera di bahagian penutup pek makanan berkenaan, selepas sajian itu diedarkan.

"Kita dimaklumkan ada jemaah yang menyimpan makanan selepas diedarkan, tetapi kita bimbang ia akan memberi kesan kepada ketahanan makanan tersebut.

"Adalah lebih elok jika makanan itu segera dimakan dan dinikmati sebaik diedarkan, lagipun ia tahan panas untuk satu tempoh tertentu sahaja," tambah Syed Saleh yang pada masa sama turut menasihati jemaah supaya tidak membazirkan makanan yang diberikan kepada mereka

Bagi musim tahun ini, 20 tukang masak rakyat Malaysia yang berpengalaman ditugaskan menyelia penyediaan makanan kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.