Haji musim 1447H/2026: Bakal jemaah gagal ujian kesihatan boleh kemuka permohonan semula tahun depan

Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata setakat ini tiga peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji Malaysia dilaporkan gagal ujian saringan kesihatan untuk menunaikan rukun Islam kelima musim 2026. - Gambar fail
SHAH ALAM: Bakal jemaah haji musim 1447H/2026M yang gagal melepasi ujian pemeriksaan kesihatan seperti ditetapkan kerajaan Arab Saudi, boleh membuat permohonan semula untuk tahun berikutnya jika tahap kesihatan mereka bertambah baik.
Ringkasan AI
- Bakal jemaah haji musim 1447H/2026M yang gagal ujian kesihatan boleh memohon semula pada tahun berikutnya jika tahap kesihatan mereka bertambah baik, menurut Menteri Agama Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
- Setakat ini, tiga peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji Malaysia gagal saringan kesihatan yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, termasuk syarat bebas penyakit berjangkit, kronik tidak terkawal dan mampu menunaikan ibadah secara sendiri.
- Tabung Haji akan bekerjasama dengan KKM untuk memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan dan mengemas kini modul kursus haji selaras dengan penambahbaikan peraturan haji yang diumumkan Arab Saudi.
"Saya percaya peraturan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi telah mengambil kira hasil kajian dan hakikat yang berlaku apabila jemaah mempunyai penyakit kronik menyebabkan catatan kes kematian agak tinggi setiap kali musim haji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mualaf MADANI (KEMUDI) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Mohd Na'im berkata Malaysia komited untuk mematuhi syarat melibatkan elemen kesihatan susulan kes kematian akibat serangan jantung yang direkodkan dalam kalangan jemaah hari negara pada setiap musim haji.
Beliau berkata bagi tujuan itu, Tabung Haji (TH) akan bergerak senada dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam konteks memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan memandangkan peraturan haji akan ditambah baik hampir setiap tahun.
"Selepas ini, sudah tentu TH akan melihat serta menilai semula semua peraturan terkini yang telah ditetapkan bagi mengemas kini dan menghasilkan modul baharu dalam kursus haji pada masa akan datang.
"Usaha itu sangat diperlukan berikutan penekanan diberikan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, secara jelas bertujuan memastikan tahap kesihatan setiap jemaah berada pada tahap terbaik sepanjang musim haji," katanya.
Pada Isnin lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan yang perlu dipatuhi untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M, antaranya bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
Sehubungan itu, semua bakal haji wajib menjalani dan lulus pemeriksaan kesihatan kendalian KKM sebagai syarat kelayakan melibatkan istito'ah jasmaniyyah (kemampuan fizikal) dan sihhiyyah (kesihatan) sebelum menerima tawaran menunaikan haji.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami