NATIONAL
Hak pekerja untuk mengundi

Sebagai rakyat Malaysia, pekerja juga mempunyai hak mengundi sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama
1 MEI setiap tahun Malaysia merayakan hari pekerja sebagai penghargaan kepada semua pekerja di negara ini. YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau sempena Hari Pekerja 2025 menyarankan bahawa pekerja harus dihormati, tidak ditindas dan diberi gaji bermaruah setimpal dengan peranan pekerja sebagai tulang belakang negara ini.
Pekerja Kesuma Bangsa menjadi tema perayaan hari pekerja pada tahun ini bagi menghargai jasa kesemua golongan pekerja sebagai pelaksana agenda Malaysia Madani yang menutamakan prinsip kemampanan, keadilan dan kesejahteraan. undang-undang buruh di negara ini memberi perlindungan sebaiknya kepada para pekerja. Sebarang pertelingkahan berkaitan pekerjaan Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Sibil mempunyai bidang kuasa yang luas untuk membuat keputusan seadilnya.
Sebagai rakyat Malaysia, pekerja juga mempunyai hak mengundi sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Soalan yang sering timbul terutama di masa musim pilihan raya adalah ‘bagaimanakah pekerja menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi, apabila tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pekerja tidak mengizinkan mereka untuk ke pusat mengundi?’.
Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Undi Pos) 2003 [PPR] menyenaraikan ‘pengundi tidak hadir’ iaitu kategori-kategori pekerja yang diberi kemudahan untuk mengundi melalui pos atau mengundi awal kerana sama ada perkhidmatan mereka diperlukan pada hari mengundi ataupun tugas mereka menghalang kehadiran mereka di pusat mengundi. Anggota polis, tentera, imigresen dan beberapa perkhidmatan kritikal lain serta penjawat awam yang bertugas di luar negara diberi kemudahan mengundi awal atau mengundi secara pos.Peraturan 3(f) PPR 2003 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasukkan mana golongan pengundi ke dalam kategori pengundi ‘tidak hadir’. Namun masih banyak kategori pekerja yang tidak dimasukkan ke dalam mana-mana kategori ‘pengundi tidak hadir’.
Ramai pekerja di industri penerbangan seperti juruterbang, pramugara dan pramugari serta kakitangan penyelenggaraan dan lain-lain petugas di lapangan terbang termasuk di kaunter terimasuk, pengendali bagasi, pengendali bahan bakar, makanan dan bahagian keselamatan tidak diberi kemudahan oleh SPR untuk menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.
Walaupun sesetengah syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang memberi kelonggaran waktu bekerja kepada pekerja masing-masing untuk mengundi, namun perkara ini boleh ditangani dengan mudah sekiranya Peraturan 3(f) PPR (Undi Pos) 2003 diguna pakai dengan sewajarnya.
Pekerja-pekerja di dalam industri perkapalan dan pengurusan pelabuhan juga menghadapi masalah yang sama. Hampir keseluruhan pengundi berdaftar di dalam industri tersebut tidak dapat mengundi disebabkan kekangan tugasan mereka. Pekerja pelabuhan sememangnya tidak dapat meninggalkan tempat kerja, atau sekiranya dibolehkan seakalipun, ia hanya bagi masa yang cukup singkat dan di atas ehsan majikan.
Manakala pekerja-pekerja di atas kapal, semenangnya pelayaran tidak akan dibatalkan semata-mata kerana pilihan raya. Di beberapa negara asing, pihak pentadbiran pilihan raya memperkenalkan pelbagai mekanisme bagi memastikan setiap pengundi dapat menjalankan tanggungjawab dan hak sebagai rakyat tanpa mengira pekerjaan mereka.
Kakitangan di hospital-hospital kerajaan dan juga anggota polis sememangnya diberikan kemudahan untuk mengundi awal. Namun adalah menarik apabila diperhatikan bahawa kakitangan hospital swasta dan anggota polis bantuan tidak diberi kemudahan yang sama walaupun tugas dan tanggungjawab mereka adalah sama dengan rakan mereka di hospital kerajaan dan anggota polis sepenuh masa.
Agak sukar untuk mempertahankan keputusan SPR tersebut hanya atas alasan perbezaan antara majikan swasta dan kerajaan memandangkan tugas bagi kelompok ini adalah sama iaitu menjaga kesejahteraan pesakit dan menjamin keselamatan awam.
Selain daripada kelompok pengundi yang dinyatakan terdahulu, banyak lagi golongan pengundi yang perlu diberi perhatian khusus. Pekerja-pekerja di pelantar-pelantar minyak di luar persisir pantai, pesakit-pesakit yang terlantar di hospital, banduan dan tahanan di penjara-penjara dan pusat-pusat tahanan dan beberapa golongan lain, juga dinafikan hak untuk mengundi disebabkan kelemahan sistem pengurusan pilihan raya sediada.
Isu ‘pengundi tidak hadir’ bukanlah perkara baharu.
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC) telah membuat cadangan bagi membolehkan ‘semua pengundi boleh mengundi sekarang’. Kecanggihan ‘Internet Pelbagai Benda’ (IoT) harus diaplikasikan agar hak pekerja dan rakyat dapat ditingkat.
* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek Pusat Penyelidikan MADANI (Mantan CEO ERC).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami