Skip to main content

Malaysia

Warga emas ditahan bantu siasatan kes langgar lari tiga pejalan kaki 

Sumber: Adobe Stock

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 75 tahun bagi membantu siasatan kejadian langgar lari membabitkan tiga pejalan kaki di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang, Jumaat lepas. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata warga emas itu ditahan kira-kira 11.40 pagi semalam hasil maklumat orang awam susulan insiden yang menyebabkan dua daripada mangsa maut dan seorang lagi cedera parah. 

“Semakan mendapati warga emas itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau narkotik dan dia akan direman untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Ahmad Fadzli Abdullah melalui talian 017-5843860. 

Semalam, Vijaya Rao dilaporkan berkata dua beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh tiga pejalan kaki dalam kes dipercayai langgar lari di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang, pada 15 Mei.

Beliau berkata mangsa yang maut adalah dua wanita berusia 57 dan 62 tahun manakala remaja berusia 17 tahun yang juga anak kepada seorang daripada mereka cedera parah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video