PUTRAJAYA: Para hakim bebas untuk membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa sebarang rasa gusar terhadap natijah politik atau sosial berhubung keputusan mereka, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata berbeza dengan ahli politik, hakim tidak perlu menjawab kepada sesiapa, atau diperintah oleh desakan politik atau populariti.

"Seorang hakim seharusnya menjadi penimbangtara berperlembagaan yang bebas bagi keadilan, antara negara dan subjek-subjeknya (dan sebaliknya), serta antara subjek-subjek sesama sendiri.

"Kesetiaan hakim jelas dalam sumpah kehakimannya yang ditauliahkan oleh Perlembagaan, diikrar bagi tujuan melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya semasa berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Merujuk kepada keputusan Pendakwa Raya menarik balik tuduhan jenayah terhadap individu berprofil tinggi sebelum ini, Tengku Maimun berkata keputusan-keputusan ini mungkin tidak diterima dengan baik oleh orang ramai, namun sebahagian besar kesalahan diletakkan pada badan kehakiman kerana terpaksa mengeluarkan perintah yang tinggal sahaja, setelah pertuduhan ditarik balik.

Tengku Maimun berkata di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi kesalahan selain di hadapan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata apabila Pendakwa Raya memutuskan untuk menarik balik pertuduhan, mahkamah hanya mempunyai satu daripada dua pilihan berbangkit yang minimum.

"Bergantung kepada fakta, kedua-dua pilihan ini adalah sama ada memberikan perintah melepas tanpa membebaskan yang popular sebagai DNAA, atau melepas dan membebaskan atau DAA.

"Mahkamah tidak boleh menyanggah dan bertegas dengan Pendakwa Raya bahawa pertuduhan akan kekal.

"Badan kehakiman dan Pendakwa Raya masing-masing mempunyai fungsi perlembagaan mereka sendiri dan kedua-duanya mesti dihakimi secara adil untuk melaksanakan kuasa mereka, mengenepikan yang lain," katanya.

Tengku Maimun berkata apabila pertuduhan ditarik balik, hakim yang membuat satu-satunya perintah yang tinggal, akan dikatakan korup, kadangkala sebagai tidak cekap atau kedua-duanya.

"Orang ramai gagal memahami bahawa orang yang bertanggungjawab terhadap keputusan itu ialah Pendakwa Raya dan bukannya mahkamah.

"Selalunya mahkamah yang dihukum atas keputusan sedemikian dan ini menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman," tambahnya.

Tengku Maimun berkata tanpa sebab badan kehakiman dianggap 'penjahat' terhadap tindakan atau 'tiada tindakan' badan lain dalam sistem keadilan.

Beliau turut mengetengahkan dua keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini termasuk kes Forum SIS, yang pada dasarnya menyentuh persoalan sama ada badan perundangan Negeri Selangor diberi kuasa untuk meluluskan undang-undang tertentu.

"Ini adalah bentuk cabaran yang jelas dan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan kita. Malangnya, kedua-dua kes ini dijadikan oleh sesetengah pihak 'lebih' daripada apa yang sebenarnya.

"Kes-kes ini tidak ada kaitan dengan hakikat agama Islam yang tulen. Ia hanya bertujuan menekankan semula persempadanan kuasa yang jelas antara persekutuan dan negeri-negeri," katanya.

Tengku Maimun berkata komen pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab disasarkan untuk menggambarkan bahawa Badan Kehakiman mempunyai "agenda" atau motif untuk menghapuskan Islam di negara ini, atau agenda menghapuskan sistem perundangan Islam di Malaysia.

"Komen dalam kedua-dua kes adalah jauh dan luas. Dalam sesetengah bahagian, komen-komen ini secara tidak wajar mempersoalkan kepercayaan peribadi Hakim tertentu atau malah motivasi mereka dalam membuat keputusan sedemikian.

"Di satu sudut lain, komen sedemikian menimbulkan kebencian dan niat jahat dalam kalangan orang ramai terhadap badan kehakiman, atau kebimbangan terhadap keputusan nanti yang dianggap telah diputarbelitkan.

"Di sudut lain pula, orang ramai dihimpunkan, dan kehadiran mereka digunakan untuk menakut-nakutkan para hakim.

"Contoh ini menunjukkan bagaimana kebebasan kehakiman terhakis dan bagaimana keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman terjejas," tambahnya.

-- BERNAMA