SHAH ALAM: Pihak pendakwaan menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen, Selayang amat berwibawa untuk mendengar perbicaraan dua kes menyebut perkataan menghasut membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata demikian dalam afidavit jawapan pendakwaan pada Selasa, berhubung permohonan pemimpin kerajaan Kedah itu untuk memindahkan dua kes yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi di sini.

Susulan itu, Masri berkata, pendakwaan membantah permohonan Sanusi, 50, selaku pemohon kerana kes tersebut telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen tersebut.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ini memfailkan permohonan terbabit meneruai notis usul dan afidavit sokongan pada 11 Januari lalu.

Sedangkan katanya, kes ini tidak melibatkan persoalan undang-undang yang luar biasa atau sukar sehingga memerlukannya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

"Terdapat pelbagai nas undang-undang telah diputuskan oleh mahkamah atasan mengenai isu di bawah Akta Hasutan 1948.

“Oleh demikian, ia bukanlah dalam kepentingan keadilan untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, lebih-lebih lagi kes telah ditetapkan untuk perbicaraan di Selayang,” katanya.

Masri turut menegaskan, Sanusi gagal mengemukakan sebab munasabah untuk mahkamah mengguna pakai budi bicara menurut seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah bagi memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan dibuat pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22, 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac.

Pada 11 Januari lalu, pasukan pembelaan memohon dua kes yang dihadapi Sanusi di Mahkamah Sesyen Selayang, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Menerusi notis usul yang difailkan pada Isnin, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut memohon kes berkenaan yang ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang, digantung sehingga keputusan permohonan memindahkan prosiding, diketahui terlebih dahulu.

Alasan permohonan dibuat ialah kerana, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana mahkamah tinggi mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian