Di sebalik pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf April lalu, siapakah wira sebenar dalam memastikan misi itu berjaya?

Nama Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Halim Ishak, mungkin agak asing dalam masyarakat, namun beliaulah antara orang penting dalam merintis jalan kepada misi pembebasan keempat-empat tebusan itu.

Berpegang kepada prinsip menyelamat tanpa pertumpahan darah, Halim dan beberapa individu lain memilih untuk berunding dengan Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Prof Nur Misuari bagi mendapat bantuan mengesan lokasi tebusan yang diculik kumpulan Abu Sayyaf.

Halim dan beberapa individu lain memilih untuk berunding dengan Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). - Halim Ishak
"Kunjungan pertama saya berjumpa MNLF adalah pada bulan Febuari iaitu untuk bincang misi keamanan di perairan Sabah. Profesor Nur Misuari ada menerangkan kepada saya tentang perjuangan Islam dan perbezaan mereka dengan Abu Sayyaf dan daripada situ baru saya jelas apa itu MNLF dan Abu Sayyaf. Dari situ Prof sedia untuk membantu dan bekerjasama dengan MCCF," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI di ibu pejabat MCCF di sini hari ini.

Rentetan daripada kes penculikan empat kelasi rakyat Malaysia pada April lalu, beliau terus menghubungi Jeneral Sufi yang merupakan Jenaral Kanan MNLF, untuk mendapatkan respon mengenai kes berkenaan.


"Beliau telah menjemput saya ke sana (Filipina). Sebelum pergi, saya telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi , menyatakan saya nak ke sana, dan beliau telah memberi kebenaran dan harap saya membantu menyelesaikan segera," kata bekas anggota komando 69 (VAT 69) ini.

Beliau kemudian berjumpa dengan Nur Misuari dan memberi peluang kepadanya memberikan penjelasan dan permintaan untuk membantu membebaskan tebusan berkenaan.

"Saya telah menyatakan hasrat saya dan saya cakap saya hormati Nur Misuari, saya mengharapkan kerjasama semua jeneral yang ada. Alhamdulillah semua jeneral berlapang dada dan nak membantu."

Justeru, empat jeneral dilantik untuk menyertai misi rundingan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

Menurutnya, beliau dan yang lain adalah rakyat Malaysia pertama yang dibenarkan masuk ke kem Banud Indanan, Kepulauan Jolo.

"Mereka meminta masa tujuh ke sepuluh hari untuk menyelesaikan rundingan dengan kumpulan penculik. Saya balik Malaysia dulu, dan sehingga akhir bulan saya pergi sana lagi, dan dalam perbincangan saya dapat good signal daripada jeneral Sufi bahawa tebusan selamat," ujar Halim.

Menurutnya, Nur Misuari telah mengeluarkan amaran kepada penculik bahawa jika kesemua mangsa tidak dibebaskan, mereka dan keluarga masing-masing akan dibunuh.

"Amaran itu sekali gus menyebabkan kumpulan Abu Sayyaf berkenaan menyerahkan tebusan kepada MNLF dan mereka mendapat pengampunan daripada pemimpin itu," jelas beliau.

Sehari kemudian, beliau telah dipanggil Nur Misuari yang memaklumkan bahawa kesemua tebusan rakyat Malaysia itu telah dibebaskan.

"Saya tanya kenapa tidak pulang sini (pihaknya), beliau cakap tidak boleh sebab masalah kemungkinan berlaku pertempuran dengan pihak tentera sebab perancangan awal kumpulan perunding dengan kumpulan sokongan akan bergerak sekali dan bercadang untuk mengambil tebusan di kem," tegas beliau.

Beliau pada masa itu tidak menafikan risiko besar yang terpaksa dihadapinya dalam memastikan rundingan dengan dua pihak itu berjaya.

"Pada hari pertama semasa saya sampai, berlaku kejadian tembak menembak di pasar. Semasa saya nak balik, Pengarang buku La Tahzan pun kena tembak. Saya berada 300 meter dari kawasan kejadian," tambahnya.

Rundingan yang dibuat MNLF dengan kumpulan Abu Sayyaf berkenaan juga tidak melibatkan sebarang wang tebusan.

"Saya mengambil pendekatan jumpa Nur Misuari dan ia tidak libat kewangan, Prof menyarankan kepada saya supaya beritahu keluarga tebusan agar tidak membayar wang tebusan kerana hanya akan dapat menghentikan masalah penculikan berkenaan," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan mana-mana pihak agar memberi kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika berdepan dengan ancaman penculikan seumpama itu.

"Sesungguhnya menyelesaikan masalah bukan mudah. Saya percaya polis berusaha bersungguh-sungguh. Itu usaha kerajaan dan polis, namun, kita tidak boleh menidakkan bahawa ada kekurangannya. Saya yakin Ketua Polis Negara sedang menyiasat perkara itu," tambahnya.

Adik-beradik Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34 dibebaskan Rabu lalu selepas diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.