KUALA LUMPUR: Sejumlah 116,736 unit peranti digital telah diserahkan kepada murid dari golongan B40 di 955 sekolah seluruh negara sehingga 26 Sept lalu.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia sebahagian daripada inisiatif pemberian peranti digital kepada 150,000 murid B40 di bawah program CERDIK yang dilaksanakan Yayasan Hasanah.

"Manakala, 18,770 unit telah diterima daripada Yayasan Hasanah dan akan diagihkan kepada murid dalam masa terdekat.

"Baki 14,494 unit lagi akan diagihkan sebaik sahaja diterima daripada Yayasan Hasanah," katanya menerusi jawapan bertulis ke Dewan Rakyat bertarikh 29 Sept.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu status pengedaran 150,000 unit komputer riba yang diluluskan dalam Belanjawan 2021, terutamanya di Sabah.

BACA: "Mana komputer riba pelajar B40?" - MP Kulai 'naik angin'

Chan turut bertanya sama ada kementerian akan menambah lagi pengedaran komputer riba bagi memudahkan pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Menjawab soalan itu, Mohd Radzi berkata, daripada keseluruhan peranti digital yang telah diagihkan, sebanyak 13,458 unit adalah untuk murid B40 di 97 buah sekolah di Sabah.

Menurutnya, CERDIK merupakan inisiatif tanggung jawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bertujuan menyediakan peranti digital dan pelan data kepada murid B40 yang dikenal pasti.

Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional, menguruskan sumbangan peranti digital termasuk pelan data daripada GLC dan GLIC serta menyelaras penghantaran peranti berkenaan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tambahnya.


Baki 38,000 buah komputer riba di mana?, soal Nie Ching