DA NANG: Hampir dua bilion panggilan dan 581 juta perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mencurigakan disekat daripada sampai kepada pengguna Malaysia dengan bantuan penyedia perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) bagi menangani isu penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dari 2020 hingga April 2023, kementerian juga menerima sejumlah 8,499 aduan awam berkaitan aktiviti penipuan dan dalam tempoh sama, berjaya menyekat 3,370 laman phishing.

"Malaysia sedang menguruskan maklumat salah, terutamanya daripada media baharu dengan menumpukan kepada 2P iaitu pencegahan dan perlindungan.

"Kami banyak melabur dalam mendidik dan memperkasakan orang ramai dengan pengetahuan dan alatan dalam talian untuk melindungi diri mereka sendiri," katanya ketika berucap pada sesi pleno Persidangan Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) yang berlangsung selepas majlis perasmian, di sini hari ini.

Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke AMRI ke-16 di Furama Resort Danang di sini yang bermula secara rasmi hari ini.

Sementara itu, bagi menangani isu maklumat tidak tepat, salah informasi dan berita palsu, Fahmi berkata Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Peguam Negara untuk mewujudkan penyelarasan antara agensi bagi menguruskan berita tidak disahkan dalam media baharu.

Beliau berkata hal ini sebagai respons kepada Kumpulan Kerja AMRI tentang Maklumat, Media dan Latihan yang menubuhkan Pasukan Petugas mengenai Berita Palsu (TFFN) yang melihat secara khusus peranan media dan maklumat, untuk berkongsi amalan terbaik dan juga menghasilkan inisiatif bersama di rantau ASEAN dalam memerangi berita palsu.

"Malaysia juga telah menubuhkan Sebenarnya.my dan MyCheck Malaysia iaitu laman web semakan fakta yang membolehkan rakyat Malaysia membuat rujukan silang maklumat dan melaporkan informasi palsu. Sebenarnya.my mempunyai purata capaian 4.8 juta sebulan dan merupakan laman web semakan fakta paling berkesan di Malaysia," katanya.

Fahmi berkata adalah penting untuk memastikan maklumat yang disampaikan kepada orang ramai boleh dipercayai dan benar kerana perkara ini boleh membawa bencana kepada individu, komuniti dan negara, terutamanya dalam kes media baharu yang menyaksikan kemajuan pesat.

Mengulas tentang tema AMRI ke-16 iaitu "Media: Daripada Maklumat kepada Pengetahuan untuk ASEAN yang Berdaya Tahan dan Responsif", Fahmi berkata ia tepat kerana media telah berkembang daripada media cetak yang menyampaikan berita keesokannya, kepada media hari ini yang menyajikan kita berita pada milisaat berikutnya.


"Untuk menjadi berdaya tahan dan responsif, pengetahuan adalah kunci utama dan media memainkan peranan yang berkesan dalam menukar maklumat kepada pengetahuan," katanya ketika berkongsi tentang perjalanan dan visi Malaysia berkaitan tema itu, selaras dengan Pelan Induk II Komunikasi ASEAN 2018-2025 (ACMP II).

Beliau berkata semasa Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN 3) di Filipina sebelum ini, menteri-menteri membincangkan kemungkinan menubuhkan kumpulan kerja untuk melihat kepada isu maklumat tidak tepat, salah informasi dan berita palsu seperti yang dicadangkan oleh Thailand dan diterima sebulat suara oleh mesyuarat itu.

Fahmi berkata Malaysia memainkan peranan aktif dalam mewujudkan kesedaran ASEAN dalam kalangan rakyatnya, khususnya dalam kalangan murid sekolah dan orang muda.

Beliau berkata Jabatan Penerangan (JaPen) berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan ASEAN termasuk Pertandingan Melukis Mural ASEAN, Right Information Saves and Empowers (RISE ASEAN), Pertandingan Kuiz ASEAN dan ASEAN @ Socmed.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (Japen) Datuk E. Sivabalan, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin serta pegawai tinggi lain daripada kementerian dan agensinya.

Terdahulu, Naib Presiden Vietnam Vo Thi Anh Xuan dalam ucapan perasmiannya mengetengahkan kepentingan mempromosikan maklumat yang benar dan tepat pada masanya berdasarkan keupayaan digital, menukar maklumat kepada pengetahuan bagi menyokong perniagaan dan pendapatan rakyat.

"Meminimumkan kesan maklumat negatif kini menjadi keperluan mendesak di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN," katanya.

Xuan berkata AMRI ialah forum penting bagi negara anggota ASEAN dan negara dialog untuk bertukar-tukar bagi mengenal pasti keutamaan dan hala tuju kerjasama pada masa akan datang, untuk bersama-sama mencapai Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan keutamaan kepada Komuniti ASEAN.

-- BERNAMA