Hampir 40 peratus anggota 31 Briged Sempadan yang ditubuhkan di bawah Pemerintah 1 Divisyen khusus bagi memperkasa kawalan keselamatan sempadan Sarawak dan Sabah awal tahun ini, sudahpun direkrut bagi melengkapkan keperluan lima batalion di bawah naungan briged berkenaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, terbaru 499 anak tempatan Sarawak yang dipilih menganggotai briged ini sedang menjalani latihan asas di Kem PLKN Junaco Park di Sibu, dan mereka dijangka tamat latihan hujung tahun ini.

Beliau berkata usaha sedang digiatkan bagi menambah bilangan anggota yang benar-benar layak untuk mengisi kekosongan sebanyak 1,000 lagi perjawatan dalam briged itu.

"Bagi memperkukuh pelaksanaan briged itu, Kementerian Pertahanan menerusi Tentera Darat akan membina sebuah kem di Bintulu bagi menempatkan Markas 31 Briged Sempadan dan satu batalion Rejimen Sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di penghujung majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan bersama kumpulan Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) kanan kawasan Kuching, di Dewan Sri Angkasa, Pangkalan Udara Kuching, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata kawasan Bintulu dipilih bagi membolehkan briged itu melaksanakan 'secondary task' untuk memantau sasaran-sasaran penting seperti empangan-empangan di Bakun, Murum dan Baleh.

Menurutnya selain itu pihak kementerian juga sedang merancang untuk menambah lima Pos Gabungan (POSGAB) dan 18 Pos Tentera Darat di sempadan Sabah/Sarawak dan Kalimantan, Indonesia; memandangkan lapan POSGAB sedia ada dirasakan tidak lagi mampu menampung keberkesanan penugasan di kawasan sempadan negara.

"Untuk jangka panjang 18 lokasi strategik di sempadan juga dikenal pasti pos-pos baru yang dirasakan sesuai kerana TNI-AD (Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat) mempunyai pos/penempatan mereka di sempadan Kalimantan. Sebanyak 15 cadangan pos itu terletak di Sarawak, dan tiga di
Sabah," katanya.

Sementara itu dalam memberi tumpuan kepada teras kesiapsagaan di Sarawak pula Hishammuddin berkata pihak kementerian bercadang untuk mewujudkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Bintulu.

Beliau berkata beberapa keputusan telah dicapai dalam perbincangan antara pihak kementerian dengan Bintulu Development Authority (BDA) bagi merealisasikan usaha ke arah pembinaan pangkalan itu, di mana bagi perancangan jangka pendek, BDA bersetuju mewujudkan ruang dan fasiliti untuk keperluan pentadbiran sebuah unit TLDM di Pelabuhan Bintulu.

"Unit ini berperanan mengatur gerak aset-aset yang terlibat dalam operasi di perairan Sarawak dan Laut China Selatan. Pasukan nukleus ini boleh ditubuhkan pada awal tahun 2017 sekiranya pihak BDA dapat menyegerakan keputusan untuk penggunaan ruang dermaga di pelabuhan Bintulu," katanya.

Menurutnya bagi perancangan jangka panjang pula, TLDM telah mengenal pasti lokasi sesuai untuk dijadikan pangkalannya di Bintulu, namun penggunaan lokasi itu masih di peringkat perbincangan.

Hishammuddin berkata dalam kunjungan hormatnya ke atas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di sini semalam, mereka berbincang mengenai soal-soal pertahanan dan keselamatan Sarawak, termasuk berkaitan kebajikan anggota serta veteran tentera, dan rancangan penubuhan pangkalan TLDM di Bintulu.