KUALA LUMPUR: Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Dis tahun lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 5,984 kes kemalangan maut manakala kes kematian melibatkan 6,433

"Sementara 2,331 kes membabitkan kemalangan parah dan 28,511 kemalangan ringan, manakala selebihnya hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 173,129 kes, diikuti Johor (87,370 kes) dan Kuala Lumpur (72,701 kes).

Menurut beliau, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian paling tinggi dengan 2,092 orang, kemudian Johor (2,010) dan Perak (1,321).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSPT telah melaksanakan operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara melibatkan semua kontinjen dan daerah bermula 8 malam hingga 5 pagi tadi.

Operasi itu melibatkan 4,378 pegawai dan anggota PDRM selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia.

-- BERNAMA