Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kecil kawasan itu hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah itu termasuk 13,188 pengundi biasa, 911 pengundi awal dan sembilan orang pengundi pos.

Lapan pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang kecuali pusat pengundian Pulau Perhentian ditutup lebih awal pada pukul 3 petang dengan 635 pengundi atau 86.6 peratus penduduk pulau itu telah keluar mengundi.

Perangkaan itu menepati jangkaan SPR yang menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil itu mencapai lingkungan 75 hingga 80 peratus.

Pengundian berjalan lancar dengan jumlah yang keluar mengundi sejam selepas dibuka sebanyak 15 peratus dan meningkat sekali ganda pada pukul 10 pagi. Ia melebihi 50 peratus pada tengah hari.

Faktor cuaca cerah antara yang menyumbang kepada peratus keluar mengundi yang tinggi walaupun ia berlangsung pada hari bekerja.

Kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal yang diperkenalkan pada pilihan raya kecil itu turut mempercepatkan proses pengundian berbanding kaedah mencalit pada kuku sebelum ini.

Ramai menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai sangat tenang dan diakui Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai yang paling tenang sejak beliau berkhidmat dengan suruhanjaya itu.

Polis juga mengesahkan tiada laporan mengenai insiden yang tidak diingini kecuali satu laporan mengenai dakwaan 'pengundi hantu' yang menurut polis individu itu adalah seorang lelaki yang tidak siuman.

Namun, keadaan trafik agak perlahan di beberapa tempat kerana pertembungan dengan penduduk yang keluar bekerja dan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat keadaan.

Kehadiran anggota polis di tempat-tempat strategik telah dapat mengawal keadaan.

Bagaimanapun, suasana tenang dicemari sedikit insiden yang membabitkan penahanan kereta yang dinaiki Wan Ahmad oleh sekumpulan penyokong pembangkang ketika beliau membuat tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di sini hari ini.

Kumpulan itu dipercayai bertindak demikian kerana menganggap ada pihak luar cuba mencampuri urusan pengundian memandangkan kereta yang dinaiki Wan Ahmad dan anggota SPR tidak mempunyai logo suruhanjaya.

Pemerhatian SPR sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi mendapati pengundi dan penyokong kedua-dua parti cukup berdisiplin dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan.

Kira-kira 3,000 anggota polis termasuk 200 pegawai terlibat dalam PRK Kuala Besut bagi mengawal perjalanan kempen dan hari mengundi, sejak 12 Julai lalu.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, dan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48.

Keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas pukul 10 malam untuk memberi laluan kepada pemimpin dan penyokong parti berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih.