MALAYSIA
Populasi ikan kelah di Tasik Kenyir dalam pemantauan berterusan

Foto pada tahun 2023 di Santuari Kelah Tasik Kenyir menunjukkan kumpulan pelancong yang masih berpeluang mendekati kawanan ikan kelah yang jinak. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Populasi ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir masih wujud dan berada dalam pemantauan berterusan pihak berwajib.
Pengarah Perikanan Terengganu Pang Nyukang berkata pemantauan pihaknya mendapati ikan kelah kini lebih banyak berada di kawasan lubuk semula jadi ekoran perubahan habitat dan faktor cuaca semasa.
"Pemerhatian mendapati kawasan pemberian makanan ikan telah mengalami mendapan pasir dari hulu sungai selain penurunan paras air tasik sebagai persediaan tadahan musim tengkujuh.
"Keadaan ini menyebabkan perairan menjadi cetek manakala cuaca panas dan ketiadaan teduhan semula jadi menjadikan ikan lebih cenderung berlindung di kawasan berair dalam," katanya dalam kenyataan hari ini.Pang berkata bagi memastikan kelestarian populasi ikan kelah, Jabatan Perikanan Terengganu akan melaksanakan pemantauan menyeluruh di tapak santuari pada Ahad ini.
Jabatan juga akan memperkukuh usaha bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam pengurusan habitat serta pengawalan ancaman.
Pang berkata jabatan itu komited dalam memastikan sumber perikanan darat negeri terus terpelihara dan menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi tidak berasas serta melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ikan kelah dan habitatnya dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) serta Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 yang menetapkan larangan menangkap, mengalih atau membunuh ikan itu tanpa kebenaran bertulis Pengarah Jabatan Perikanan Negeri.
Individu melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya di bawah Kaedah 21 Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ketiadaan ikan kelah di santuari yang menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara di Tasik Kenyir.
Ketengah dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi Santuari Kelah ditutup bermula hari ini hingga Ahad bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami