KUALA LUMPUR: Penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) direkodkan semakin meningkat dengan hampir 9,500 pesakit baharu didaftarkan memerlukan rawatan dialisis setiap tahun, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 4.7 juta individu mengalami CKD dan angka berkenaan membimbangkan.

"Bagi mengatasinya, pelbagai langkah penjagaan kesihatan komprehensif diperlukan ... termasuk strategi yang melibatkan pencegahan, pengesanan awal, pengurusan faktor risiko yang berkesan serta rawatan yang bertepatan.

"Pada masa ini, terdapat banyak kemajuan dalam perawatan perubatan yang mampu mengawal penyakit kronik serta mengelakkan komplikasi memudaratkan. Bagi penjagaan CKD, kita (Kementerian Kesihatan) menyediakan rawatan yang bertepatan dan bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Lukanisman berkata usaha membanteras semua bentuk punca masalah buah pinggang terutamanya diabetes dan pelbagai penyakit tidak berjangkit juga memerlukan pendekatan yang mampan daripada semua pihak termasuk kerajaan, swasta, industri dan rakyat.

"KKM (Kementerian Kesihatan) sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha mencapai matlamat untuk meningkatkan akses terhadap perkhidmatan kesihatan yang optimum dan berkualiti," katanya.

-- BERNAMA