TAIPING: Gara-gara cemas kerana didakwa kononnya terbabit dalam kes jenayah, seorang ahli perniagaan lelaki kerugian RM418,200 selepas terperdaya dengan sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mangsa berusia 36 tahun itu hanya sedar dirinya ditipu setelah hampir sebulan dan melakukan tujuh pindahan wang ke enam bank berbeza.

"Pada 30 Mac sekitar 4.07 petang, pihak polis telah menerima laporan dari seorang lelaki warga tempatan yang merupakan ahli perniagaan di Taiping.

"Mangsa berkata dia diperdaya dan ditipu oleh satu sindiket penipuan penyamaran pihak berkuasa.

"Siasatan awal mendapati pada 27 Februari lalu jam 10.30 pagi, semasa berada di sebuah bank di Taiping, mangsa terima pangilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama Inspektor Hazizi.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes jenayah dan menghantar satu salinan kononnya waran tangkap yang dikeluarkan atas nama mangsa melalui aplikasi WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujarnya lagi, suspek kononnya telah membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia dan mendapati mangsa mempunyai simpanan tetap di bank.

Setelah itu, mangsa diarah membuat penukaran akaun simpanan tetap miliknya ke akaun simpanan biasa.

"Mangsa tidak pasti bagaimana suspek tahu maklumat akaun tetap miliknya kerana dia tidak pernah memberikan sebarang makumat akaun kepada suspek.

"Kemudian, suspek memberitahu mangsa, sekiranya mahu terlepas daripada tindakan undang-undang, dia mesti melakukan pembayaran wang.

"Oleh kerana dalam keadaan ketakutan dan cemas, pada 27 Februari hingga 26 Mac, mangsa telah melakukan tujuh kali pindahan wang ke enam akaun bank berbeza berjumlah RM418,200.

"Setelah sedar suspek menyamar sebagai pegawai polis, mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan telah membuat laporan polis," katanya.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali.