KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disaran agar menubuhkan Kementerian Kanak-Kanak bagi mengutamakan isu membabitkan golongan tersebut.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menjelaskan saranan itu dibuat ekoran isu penindasan, penderaan dan gangguan seksual serta pengabaian terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini adalah kumpulan yang besar dan mereka adalah masa depan kita dan aset terbesar negara.

"Pandemik ini telah mendedahkan dan mengesahkan akan kelemahan sistem perlindungan untuk kanak-kanak dalam negara kita.

"Bakul makanan yang disediakan oleh Kerajaan tidak mengandungi susu untuk bayi dan kanak-kanak kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau juga menjelaskan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir selama 22 bulan, banyak tumpuan diberikan dalam isu melibatkan kanak-kanak.

Hujah beliau, keutamaan PH terhadap kanak-kanak ekoran disebabkan ketidakupayaan mereka untuk melindungi diri sendiri sehingga menyebabkan mereka selalu teraniaya.

Menurut Hannah, antara inisiatif PH ialah melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang pertama, melancarkan Sistem Semakan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, dan memperuntukkan geran bagi penubuhan Taska di Tempat Kerja di Sektor Awam.

Selain itu, PH turut melancarkan infografik untuk pengasuh dan ibu bapa, bekerjasama dengan Google dalam menerbitkan video kempen kesedaran, serta menyediakan WhatsApp Talian Kasih bagi memudahkan pelaporan.

"Sudah tiba masanya Perdana Menteri Malaysia yang baharu mengutamakan isu kanak-kanak berbanding jawatan penasihat khas bertaraf menteri," katanya lagi.


Kabinet | PM disaran tubuh Kementerian Kanak-Kanak

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan 16 Ogos lalu.

Pada Sabtu, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.