Skip to main content

Malaysia

Hansard Digital Parlimen dedah 'DNA' bahasa politik pemimpin, Anwar dominasi 'bilion', Hadi kekal dengan 'Islam

Sumber: BERNAMA
Sistem Hansard Digital Parlimen Malaysia membolehkan corak bahasa setiap pemimpin dianalisis secara kuantitatif menerusi visual word cloud atau awan perkataan. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini prestasi Ahli Parlimen sering dinilai berdasarkan kehadiran dan kandungan ucapan, kini Sistem Hansard Digital Parlimen Malaysia membuka dimensi baharu dengan membolehkan corak bahasa setiap pemimpin dianalisis secara kuantitatif menerusi visual word cloud atau awan perkataan.

Analisis Sinar Harian terhadap data Hansard Digital mendapati setiap pemimpin mempunyai "cap jari linguistik" tersendiri yang mencerminkan keutamaan dasar, pendekatan politik dan isu yang paling kerap diperjuangkan di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, paling banyak menggunakan perkataan bilion sebanyak 1,477 kali, diikuti rakyat (1,378 kali) dan ekonomi (833 kali).

Turut berada dalam kelompok teratas ialah perkataan syarikat (801), perdana (725), negeri (642), kewangan (618) dan peruntukan (562), sekali gus menggambarkan penekanan beliau terhadap pertumbuhan ekonomi, pelaburan, fiskal serta pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, paling banyak menggunakan perkataan mulia sebanyak 525 kali, diikuti polis (513), negeri (503), jenayah (462) dan rakyat (427).

Perkataan seperti jabatan, tindakan, TVET, tentera, Islam dan pertahanan yang turut mendominasi menunjukkan perbahasan beliau banyak berkisar mengenai keselamatan, institusi kerajaan, pembangunan modal insan serta pendidikan teknikal.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula mempunyai corak bahasa yang paling berbeza berbanding pemimpin lain apabila perkataan "Islam" muncul sebanyak 635 kali, jauh mengatasi perkataan lain.

Beliau turut kerap menyebut rakyat (274), berlaku (234), negeri (226), manusia (215), agama (208) dan ekonomi (181), menggambarkan gabungan perbahasan berteraskan agama, masyarakat serta pentadbiran negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didominasi isu ekonomi rakyat apabila perkataan harga direkodkan sebanyak 1,147 kali, diikuti rakyat (1,041), syarikat (869), sawit (609) dan minyak (606).

Selain kos sara hidup, Hamzah turut banyak membangkitkan isu komoditi, industri dan bantuan kerajaan, mencerminkan fokus pembangkang terhadap tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat.

Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula mempamerkan corak bahasa yang jauh berbeza apabila pengangkutan menjadi perkataan paling dominan dengan 1,437 sebutan.

Beliau turut kerap menggunakan perkataan projek (993), syarikat (962), perkhidmatan (888), penerbangan (886), jalan (630) dan bas (578), selaras dengan portfolio yang dipikul.

Sementara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperlihatkan identiti yang berkait rapat dengan sektor pendidikan apabila sekolah muncul paling tinggi dengan 836 sebutan, diikuti pendidikan (561), bahasa (453) dan guru (386).

Corak itu menunjukkan sebahagian besar perbahasan beliau banyak menyentuh dasar pendidikan, pembangunan modal insan serta sistem persekolahan.

Ahli Parlimen Pandan (ketika data Hansard direkodkan), Datuk Seri Rafizi Ramli paling kerap menggunakan perkataan ekonomi sebanyak 1,103 kali, diikuti rakyat (1,045), gaji (753), harga (671) dan syarikat (543).

Perkataan seperti bilion, subsidi, pendapatan, data dan cukai yang turut berada dalam kelompok tertinggi memperlihatkan kecenderungan Rafizi yang juga Presiden Parti Bersama (Bersama) menggunakan hujah berasaskan angka dan analisis ekonomi.

Secara keseluruhan, data Hansard Digital memperlihatkan setiap pemimpin mempunyai kecenderungan bahasa yang berbeza mengikut tanggungjawab dan pendirian politik masing-masing.

Anwar jelas mengangkat naratif ekonomi negara dan pengurusan fiskal, Anthony Loke memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan pengangkutan, manakala Muhyiddin banyak menyentuh pendidikan.

Hamzah dan Rafizi pula berkongsi tema ekonomi rakyat serta kos sara hidup, namun pendekatan kedua-duanya berbeza apabila Rafizi lebih banyak menggunakan istilah berkaitan data, subsidi dan pendapatan, manakala Hamzah lebih menekankan harga, sawit dan bantuan.

Abdul Hadi kekal dengan identiti politik Islam sebagai tema utama perbahasannya, sementara Zahid mengimbangi isu keselamatan, institusi kerajaan, TVET dan pembangunan masyarakat.

Fungsi awan perkataan dalam Hansard Digital bukan sekadar memaparkan kekerapan istilah, malah menjadi petunjuk empirikal terhadap fokus sebenar seseorang Ahli Parlimen ketika berbahas, sekali gus menawarkan perspektif baharu dalam menilai corak politik dan keutamaan dasar pemimpin negara. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement