Skip to main content

Malaysia

Hanya 12 peratus rakyat Malaysia tampil lapor kes penipuan dalam talian

Arifah Sharifuddin berpandangan, rakyat Malaysia masih mempunyai stigma dan rasa malu kerana menjadi mangsa penipuan dalam talian menyebabkan kesukaran melaporkan insiden berkenaan.
Arifah Sharifuddin berpandangan, rakyat Malaysia masih mempunyai stigma dan rasa malu kerana menjadi mangsa penipuan dalam talian menyebabkan kesukaran melaporkan insiden berkenaan.

Advertisement

SINGAPURA: Hanya 12 peratus rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian tampil membuat laporan, meskipun tiga daripada lima individu berdepan insiden penipuan, menurut kajian Tech For Good Institute.

Pengarah Tech For Good Institute, Arifah Sharifuddin berkata, stigma dan rasa malu kerana menjadi mangsa penipuan dalam talian antara faktor utama yang menyebabkan ramai memilih untuk tidak melaporkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, tanggapan bahawa mangsa menjadi sasaran penipuan berpunca daripada kelemahan sendiri masih wujud, sekali gus menjejaskan usaha menggalakkan lebih ramai tampil mendapatkan bantuan.

“Antara sebab mereka tidak membuat laporan ialah rasa malu. Stigma bahawa seseorang itu ditipu kerana kesalahannya sendiri masih tinggi, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi panel bertemakan Upholding Trust in the Age of Al: Detecting and Disrupting the Next Generation of Scams di Singapura pada Rabu.

Mengulas lanjut, Arifah berkata, kajian kuantitatif yang dijalankan institut itu di enam negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina, mendapati hanya 16 peratus responden dikategorikan sebagai benar-benar bersedia menghadapi penipuan dalam talian.

Katanya, kumpulan itu merangkumi individu yang bukan sahaja mampu mengenal pasti apabila menjadi mangsa, malah mengetahui tindakan sewajarnya yang perlu diambil selepas insiden berlaku.

Sementara itu, kira-kira 60 peratus responden dikategorikan sebagai mempunyai tahap kesiapsiagaan sederhana, iaitu mereka mengetahui tindakan yang perlu diambil tetapi tidak semestinya melaksanakannya dengan betul.

Sebagai contoh, katanya, terdapat mangsa yang terus berhubung dengan penipu selepas kehilangan wang kerana cuba mendapatkan semula wang berkenaan, sekali gus berisiko menjadi mangsa penipuan susulan.

Menurut Arifah, keadaan itu menunjukkan kesedaran untuk mengenal pasti penipuan sahaja tidak mencukupi tanpa pengetahuan mengenai langkah seterusnya bagi melindungi diri dan mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, laporan penuh kajian berkenaan dijangka dilancarkan pada bulan depan sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Manila.

Dalam pada itu, Arifah berpandangan mekanisme tindak balas terhadap penipuan dalam talian di Malaysia masih boleh diperkukuh meskipun negara sudah mempunyai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk institusi perbankan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk memperluas waktu operasi talian bantuan kepada 24 jam serta mempercepat tindakan menyekat akaun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan.

Katanya, tindakan pantas amat penting bagi meningkatkan peluang menyelamatkan wang mangsa sebelum dana berkenaan dipindahkan atau dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, beliau berkata, modul kesedaran awam perlu diperluas supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada cara mengenal pasti penipuan, tetapi turut menerangkan tindakan yang perlu dilakukan sebaik sahaja seseorang menyedari dirinya menjadi mangsa.

“Orang ramai mungkin tahu bagaimana hendak mengesan penipuan, tetapi apabila mereka sudah menjadi mangsa, mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas itu,” katanya.

Arifah menegaskan usaha menangani penipuan dalam talian memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan awam, saluran pelaporan yang mudah diakses serta tindakan pantas oleh pihak berkuasa dan institusi kewangan.

Beliau berkata, usaha menghapuskan stigma terhadap mangsa juga penting supaya lebih ramai tampil membuat laporan tanpa rasa takut atau malu, sekali gus membantu pihak berkuasa mengenal pasti corak penipuan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Must Watch Video

Advertisement