IPOH: Daripada 400,000 orang Islam di Negeri Perak yang berkemampuan membayar zakat harta, hanya 20 peratus yang menunaikan tanggungjawab mereka itu setakat ini.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi khutbah Jumaat berkata, berdasarkan kepada angka berkenaan ia menunjukkan kesedaran dan pengetahuan tentang kewajipan membayar zakat harta masih rendah dalam kalangan umat Islam.

Katanya, sebahagian besar wang zakat yang diagihkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kepada asnaf datangnya daripada kutipan zakat harta yang meliputi antaranya zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat tanaman, zakat pelaburan dan lain-lain.

Tambahnya lagi, berdasarkan rekod pada tahun lalu, 95 peratus atau RM187 juta kutipan zakat di Perak disumbangkan menerusi zakat harta, sementara lima peratus atau RM10 juta hasilnya daripada kutipan zakat fitrah.

“Angka kutipan dan bayaran zakat boleh dianggap sebagai petunjuk pencapaian ekonomi umat Islam.

“Semakin tinggi tahap pendapatan masyarakat Muslim dalam sesebuah negara, sepatutnya semakin banyak hasil kutipan zakat diperoleh untuk diagih dan dimanfaatkan kepada ahli masyarakat yang memerlukan.

“Namun, keseimbangan agihan nikmat sukar dicapai, semata-mata dengan berlakunya peningkatan pendapatan, jika tidak adanya kesedaran dalam kalangan umat Islam mahu menunaikan zakat harta.

“Jika bilangan pembayar zakat berjaya ditambah, dan jumlah kutipan berjaya ditingkatkan, lebih banyak agihan kepada asnaf akan dapat dilaksanakan,” ujar kandungan khutbah berkenaan yang dibacakan di semua masjid dan surau Jumaat di Perak, hari ini.

Khutbah yang bertajuk ‘Zakat Harta dan Tuntutannya’ itu mengesyorkan usaha untuk menyedarkan ummah perlu ditingkatkan agar lebih ramai bersedia untuk menginfakkan harta kepada golongan yang memerlukan.

Katanya umat Islam yang layak membayar cukai pendapatan amat dituntut menunaikan zakat pendapatan.

Dalam pada itu teks khutbah berkenaan turut menyatakan semua institusi zakat di negara ini telah mengambil pelbagai langkah dalam membantu mereka yang terjejas terutama akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Institusi-institusi zakat di seluruh negara telah menyalurkan hampir RM200 juta bantuan kepada asnaf dan golongan yang terkesan akibat pandemik wabak COVID-19.

“MAIPk telah berperanan aktif mengagihkan zakat mencecah RM20 juta khusus kepada mereka yang terdesak dan sangat memerlukan bantuan.

“Ketika ini MAIPk telah mewujudkan pelbagai jenis bantuan, merangkumi bantuan bulanan untuk menampung kehidupan, bantuan kecemasan, serta bantuan-bantuan rumah, persekolahan, pendidikan, dan rawatan perubatan,” katanya.