KUALA LUMPUR: Hanya 80 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan isu penggunaan nombor telefon kitar semula sejak 2021, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia bersamaan dengan 0.0016 peratus daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan mudah alih di negara ini yang mencecah 49.4 juta pengguna setakat suku kedua tahun ini.

"Penggunaan nombor kitar semula ini merupakan satu dasar sedia ada di bawah Rancangan Pengurusan Penomboran dan Pengalamatan Elektronik (NEAP) 2023 bagi memastikan setiap nombor diuntukkan diguna pakai dengan berhemat, cermat dan mengelakkan pembaziran.

"Biarpun jumlah aduan ini kecil namun kementerian melalui MCMC dari semasa ke semasa menambah baik prosedur sedia ada bagi memastikan keselesaan pengguna perkhidmatan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Hanya 80 aduan diterima berkaitan nombor yang dikitar semula

Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan kemungkinan menetapkan dasar membatalkan terus nombor kitar semula demi menjamin keselamatan pengguna.

Menurut Fahmi, bagi menangani dan mengurangkan risiko berkaitan panggilan kepada pengguna nombor lama, nombor-nombor yang telah tidak aktif akan memasuki tempoh kuarantin atau cooling off period selama sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh digunakan semula.

Beliau berkata, amalan mengguna semua nombor telefon lama dan tempoh kuarantin ini juga digunakan di negara lain seperti di Amerika Syarikat (45 hari), Australia (enam bulan) dan Singapura (90 hari).

"Walaupun langkah mengurangkan masalah dan risiko telah dilakukan, MCMC tidak dapat menegah bank atau sebarang perkhidmatan daripada menyimpan data peribadi pelanggannya untuk tempoh yang lama.

"Oleh itu, dalam menangani perkara ini, pengguna baharu juga harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat dalam telefon mudah alih," katanya.

Amalan guna semula nombor telefon turut digunakan di negara lain

Fahmi berkata, jika terdapat panggilan yang mengancam keselamatan pengguna baharu atau berdepan jenayah penipuan, pengguna disaran melakukan laporan polis dan melaporkannya ke talian bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), 997.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk melanjutkan operasi NSRC kepada 24 jam bagi memudahkan pelaporan mangsa, Fahmi berkata, kementerian akan meneliti segala cara bagi menambah baik akses orang awam untuk menyalurkan aduan tentang masalah dihadapi mereka.

"Ketika ini NSRC masih beroperasi seawal 8 pagi hingga 8 malam, namun 13 Okt lepas dah terima suntikan tambahan dana, jadi kita akan usaha tambah baik perkhidmatan," katanya. - BERNAMA