Skip to main content

Malaysia

PKPS perkukuh Selangor Fruit Valley sebagai hab agropelancongan bertaraf antarabangsa

Sumber: TB_Selangor Fruit Valley
SFV turut menampilkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan agro dengan menawarkan pengalaman interaktif berkaitan pertanian, tanaman dan ekosistem makanan kepada pengunjung pelbagai peringkat usia, kata Mohamad Khairil.

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memperkukuh Projek Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai destinasi agropelancongan bertaraf antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi agro negeri serta pertumbuhan sektor pelancongan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, sejak 2021 hingga 2025, SFV telah merekodkan seramai 500,000 pengunjung, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan serta permintaan terhadap produk pelancongan berasaskan agro, pendidikan dan rekreasi keluarga.

“Prestasi ini membuktikan Selangor Fruit Valley bukan sahaja berpotensi besar sebagai destinasi agropelancongan utama negeri, malah mampu menarik minat pelancong antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, selain pengunjung tempatan, SFV turut menerima kedatangan pelancong dari luar negara termasuk United Kingdom, Australia, Rusia, negara-negara Afrika, China, India, Jepun dan Korea.

Sebagai destinasi agropelancongan popular di Selangor, SFV merekodkan pendapatan RM7 juta pada tahun 2025, merangkumi jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani.

Mohamad Khairil berkata, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang 2025 dan menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada 2026, sejajar dengan strategi pengembangan sektor agropelancongan negeri.

“SFV turut menampilkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan agro dengan menawarkan pengalaman interaktif berkaitan pertanian, tanaman dan ekosistem makanan kepada pengunjung pelbagai peringkat usia,” katanya.

Antara tarikan utama di SFV termasuk Eco Bridge, Animal Garden, Taman Arnab, Taman Rusa, Laman Itik, Rumah Kampung, Laman Ikan, selain pelbagai aktiviti sukan air.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman menaiki tram, memberi makan haiwan, menghasilkan telur masin, memandu ATV, memetik buah-buahan dan sayur-sayuran serta menyertai aktiviti penanaman pokok.

Tambah beliau, inisiatif itu selaras dengan aspirasi PKPS untuk memperkukuh ekonomi agro melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan sektor pelancongan, pendidikan dan pembangunan komuniti.

Sebagai organisasi utama dalam industri perladangan dan agro-makanan, PKPS komited menerajui transformasi sektor agro Selangor ke arah ekosistem yang lebih moden, berdaya saing dan mampan.

Pada Januari 2026, PKPS melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri serta menjamin akses makanan rakyat dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan global.

Pelan SEED 2030 digerakkan menerusi lima teras strategik yang dilaksanakan bersama anak-anak syarikat PKPS termasuk SFV, dengan fokus terhadap pengukuhan rantaian bekalan makanan, inovasi agro, pembangunan bakat dan pengembangan ekonomi agro bernilai tinggi.

“SFV bukan sekadar destinasi pelancongan, malah berperanan sebagai platform pendidikan agro dan pemangkin pembangunan industri makanan negeri. 

"PKPS akan terus memperkasa SFV sebagai model agropelancongan moden yang berdaya saing serta memberi impak ekonomi mampan kepada Selangor,” kata beliau lagi.
 

Must Watch Video