"Hanya laungan azan yang disyariatkan agar diangkat suara."

Itu kata Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berhubung isu larangan penggunaan pembesar suara selain untuk azan di masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang.

Dalam status di laman Facebook, Dr Mohd Asri atau Dr.MAZA menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umat Islam menguatkan suara dalam bacaan ayat al-Quran dan zikir seandainya ia menganggu orang lain.

Dr.MAZA 1


Dr.MAZA 2
Keratan status Facebook Dr. MAZA

Malah, bacaan al-Quran dengan menggunakan suara yang kuat di dalam masjid atau surau juga dilarang Nabi SAW, kerana perkara itu berkemungkinan menganggu jemaah lain yang ingin beribadat.

Kata Dr.MAZA, sekalipun bacaan al-Quran dan zikir adalah sesuatu yang amat digalakkan dalam agama, umat Islam tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengar bacaan mereka, apatah lagi dalam situasi di mana ia menganggu ketenteraman orang lain.

Dr.MAZA turut membawa peringatan yang ditinggalkan Imam al-Hafizd Ibn Jauzi, yang mengatakan bagaimana sesetengah umat Islam gemar mencampur-adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Ada juga yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menganggu tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud, sedangkan ia termasuk dalam perkara mungkar.

Hal sebegini, kata Dr.MAZA, tidak akan menambah kecintaan masyarakat terhadap Islam tetapi sebaliknya akan membuatkan ramai menjauhi Islam.