Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan hanya dokumen sokongan dari Jabatan Audit Negara (JAN) yang mengiringi rumusan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kawalan pengurusan urus tadbir 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB), diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurut Nur Jazlan, rumusan laporan PAC itu masih boleh dibentang di Parlimen.

“Tapi laporan PAC bukan OSA. Laporan PAC selalu disertakan dengan laporan sokongan jadi memandangkan laporan kes itu adalah disokong ataupun dibuat pada setiap laporan Ketua Audit Negara kepada laporan PAC yang akan dibentangkan.

“Dokumen sokongan itulah isunya tapi laporan PAC masih boleh dibentangkan kerana ia merupakan jawatankuasa Parlimen kepada ahli Parlimen,” kata Nur Jazlan di sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Jabatan Penjara Malaysia Zon Selatan (IKHWAS) di sini hari ini.

Jelasnya lagi, apa yang penting adalah laporan PAC perlu mencapai konsensus kesemua ahlinya bagi memastikan laporan jawatankuasa itu bernilai.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin pada Jumaat berkata PAC akan meneliti laporan akhir berkenaan berserta dengan 10 prosiding terdahulu bagi melengkapkan laporan jawatankuasa sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hasan juga berkata PAC akur serta memahami keperluan dan tindakan JAN bagi mengklasifikasikan laporan akhir itu sebagai dokumen rahsia rasmi dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Selain itu, Ketua Audit juga jelasnya mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat demikian bagi menjaga kredibiliti dan integriti jabatan itu.

Keputusan JAN tersebut dibuat ekoran terdapat maklumat dalam laporan interim terhadap pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Julai lalu dibocorkan sehingga menjejaskan kredibiliti JAN dan PAC itu sendiri.

Pada Jumaat (4 Mac), PAC mendengar pembentangan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara di bangunan Parlimen yang dijadualkan semula pada semalam dan Isnin (7 Mac) selepas ditangguhkan pada 24 dan 25 Feb lepas.