Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) mempergiat usaha menarik lebih ramai pekebun kecil supaya membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) terutama ketika harga getah merosot.

Timbalan Menterinya, Willie Mongin berkata,ketika ini bilangan pekebun kecil yang membuat tuntutan agak kecil dan sebagai contoh, kurang dua peratus dalam kalangan mereka berbuat demikian di Sarawak.

Beliau berkata berdasarkan pemilikan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), pekebun kecil negeri itu berjumlah 57,108 atau 12.5 peratus daripada keseluruhan PAT-G Malaysia.

"Pada masa ini, hampir 18 peratus penanaman getah Malaysia adalah di Sarawak, yang membabitkan 7,200 tan atau 1.1 peratus daripada (kira-kira) 639,800 tan getah asli yang dikeluarkan Malaysia pada 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

IPG mula dilaksanakan sejak September 2015 dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) terkini bagi getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 sebanyak RM6.10 sekilogram atau harga getah sekerap sebanyak RM2.50 sekilogram.

Ia merupakan satu bentuk bantuan khas bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil getah.

Mengulas lawatan itu, Willie berkata ia bertujuan melihat perkembangan semasa industri getah khususnya dalam tempoh pemulihan ekonomi di Sarawak.

"Lawatan ini dijangka dapat membantu pihak kementerian untuk memastikan perancangan program dan aktiviti bagi pemulihan semula ekonomi negara terutama untuk industri getah berjalan lancar dan berkesan," katanya.