Hanya RM555 juta untuk ambil alih AES, tidak lebih tidak kurang - Loke

Firdaus Azil
Ogos 24, 2018 05:45 MYT
kerajaan kini tidak terikat dengan perjanjian antara Barisan Nasional dan LTAT, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. - Gambar fail
Kerajaan tidak akan melayan sebarang tuntutan untuk membayar melebihi nilai yang ditetapkan bagi pengambilalihan operasi rangkaian kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, nilai yang dipersetujui hanya RM555 juta, iaitu nilai yang dibayar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada dua syarikat pengendali AES iaitu A.T.E.S Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd pada 2015.
“Kami tidak terikat dengan apa jua perjanjian antara LTAT dengan kerajaan terdahulu. Keputusan kami ialah RM555 juta, tidak lebih tidak kurang,” katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.
BACA: Bekas Pengerusi LTAT jelas kedudukan sebenar projek AES diambil alih BN
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa kos pengambilalihan yang disetujui telah melebihi RM555 juta yang merupakan kos pelaburan asal LTAT untuk mengambil alih projek daripada dua syarikat swasta.
Dalam satu sidang media semalam, Mohd Anwar dilaporkan berkata, harga pengambilalihan penuh yang dipersetujui bagi projek oleh kerajaan Barisan Nasional, melalui Kementerian Kewangan (MOF), adalah kos pelaburan penuh LTAT, ditambah dengan "pulangan 12% setahun" untuk dua setengah tahun yang dimiliki oleh LTAT.
Namun, Loke sekali lagi menegaskan kerajaan kini tidak terikat dengan perjanjian itu, dan beliau turut mengatakan bahawa perjanjian itu merupakan sesuatu yang salah
#AES #Anthony Loke #ATES Sdn Bhd #Barisan Nasional #Beta Tegap Sdn Bhd #Lembaga Tabung Angkatan Tentera #LTAT #Menteri Pengangkutan #Mohd Anwar Mohd Nor #Pakatan Harapan