PUTRAJAYA: Walaupun umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri pada Rabu, terdapat segelintir yang memilih untuk meneruskan puasa dan menyambut Syawal pada Khamis.

Tindakan itu dibuat atas alasan penampakan bulan tidak jelas melalui mata kasar.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi peringatan bahawa apa-apa jenis ibadah puasa diharamkan pada 1 Syawal.

"Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah)," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu iaitu 10 April 2024.

Cerapan anak bulan dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, merangkumi pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Maklumat rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia, terbitan JUPEM.