KUALA LUMPUR: Industri ternakan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya apabila berlakunya kenaikan harga ayam dalam pasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, banyak faktor menyumbang kepada perkara tersebut dan fokus pada masa ini diberikan untuk mendapatkan harga memadai yang tidak tinggi.

“Kita juga sensitif dan lihat bahawa industri ternakan tidak boleh dipertanggungjawabkan tapi mesti capai satu harga yang boleh beri manfaat kepada rakyat Malaysia dan juga pertumbuhan industri ternakan di seluruh negara.

“Sebab itu kerajaan adakan intervensi bagi menampung sedikit dalam bentuk insentif bagi mengurangkan impak bekalan ternakan yang diimport dari luar,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan terpaksa campur tangan dalam isu tersebut bagi menangani masalah harga ternakan yang tinggi.

Begitupun, ketika mengulas harga jagung dan ternakan haiwan yang tinggi, beliau menegaskan harga tersebut sukar dikawal kerana ia tertakluk kepada perubahan harga di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabtu lepas memberi jaminan isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam di pasaran akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengadakan mesyuarat minggu lepas, bagi mencari penyelesaian berhubung isu itu yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan.

Menurutnya antara penyelesaian yang dibincangkan termasuk untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara, bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran tempatan selain menstabilkan harganya.