KUANTAN: Kerajaan dijangka mengumumkan harga baharu bagi minyak masak minggu hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, ini sehubungan perbincangan yag diadakan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi serta Kementerian Kewangan berkenaan isu tersebut.

Sebelum ini, timbul rungutan dalam kalangan orang ramai mengenai kenaikan harga barang keperluan tersebut, yang dilaporkan mencecah sehingga RM30 bagi minyak masak seberat 5 kilogram.

"Insya-Allah, saya nampak mungkin masalah harga minyak masak ini akan ada satu berita baiklah untuk pengguna.

“Saya tak boleh umum, mungkin Menteri Kewangan akan umum atau Menteri saya sendiri akan umum, tapi dalam perbincangan tersebut saya nampak ada suatu yang amat positif dan dalam masa seminggu mungkin boleh selesai, insyaAllah,” kata Rosol, di sini hari ini.

Selain itu, Rosol berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan permintaan ibu bapa untuk membenarkan kedai alat tulis dibuka, memandangkan kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 13 Jun lalu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga barangan yang mendadak, bagi memudahkan tugas pemantauan dilakukan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Kerajaan bakal menampung subsidi minyak dan minyak masak sehingga RM8.0 bilion, iaitu RM4.22 bilion lebih tinggi daripada RM3.78 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.32 bilion bagi subsidi minyak dan minyak masak pada 2019 dan RM2.16 bilion pada 2020.