KUALA LUMPUR: Terumbu karang perlu dipelihara dan dipulihara sebaiknya, bukan sahaja kerana ia merupakan habitat ikan di lautan malah secara tidak langsung boleh mempengaruhi harga ikan di pasaran.

Ketua Ahli Biologi Marin Reef Guardian, Dr Achier Chung berkata, terumbu karang yang semakin berkurang menyebabkan jumlah ikan di sesuatu kawasan ikut sama berkurang.

Jelasnya, dengan permintaan ikan lautan agak tinggi di Malaysia, kekurangan ikan pastinya akan membuatkan harga melambung tinggi, seperti yang berlaku sekarang.

“Kami telah berdepan dengan pencerobohan terumbu karang sejak beberapa tahun lalu tetapi ia tidak berlaku setiap tahun. Sebagai contoh di kawasan SPCA (Semporna Priority Conservation Area), kita telah merekodkan pencerobohan pada tahun 2014 dan 2017.

“Pencerobohan itu beri kesan buruk sebenarnya kepada terumbu karang. Bukan sahaja perubahan iklim atau isu pencerobohan yang kita hadapi.

“Kita juga berhadapan dengan pencemaran seperti pemendapan dan juga pengimportan nutrien yang mungkin menjejaskan crown thorn starfish.

“Ini antara perkara yang kita hadapi. Perkara lain ialah penangkapan ikan secara haram yang berlaku di laut Sabah, juga merupakan masalah yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu khas dalam program Consider This yang disiarkan Astro AWANI pada Rabu malam.

Begitupun, katanya, dengan usaha pemeliharaan yang dilakukan pelbagai pihak termasuk Reef Guardian sejak 2004, situasi dilihat semakin baik dari semasa ke semasa.

“Dengan perlindungan sejak 2001 sebenarnya, kawasan konservasi sejak 2001 dan Reef Guardian yang menguruskan kawasan ini pada 2004…jadi sepanjang 18 tahun kerja pemuliharaan, habitat terumbu karang semakin baik.

“Saya sebagai ahli biologi marin, kami telah merekodkan bilangan ikan yang banyak dan mengambil gambarnya. Sekarang, saya mempunyai rekod 600 spesies ikan di terumbu karang,” ujarnya.