KUALA NERANG: Harga lantai getah perlu dibincangkan semula oleh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu lebih ramai penoreh getah di negara ini keluar daripada garis kemiskinan.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perkara itu harus dikaji kerajaan membabitkan kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan bagi melihat implikasi kewangan yang bakal ditanggung kerajaan sekiranya harga lantai ditetapkan kelak.

Mahdzir berkata, beliau secara peribadi menyokong harga lantai getah sebanyak RM3.50.

Bagaimanapun, ujarnya, di pihak kerajaan kita perlu ada perbincangan khas mengenainya kerana setiap sen harga lantai yang ditetapkan akan memberi tanggungan besar kepada kerajaan.

“Contoh harga getah RM2. 90 sekilogram, sekiranya harga lantai RM3.50 jadi kerajaan perlu tambah setiap sen itu dan ia perlu dikira dan diteliti satu persatu dengan jumlah pekebun dan keluasan hektar kebun getah termasuk harga pasaran dunia,” kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Peringkat Negeri Kedah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Risda, Ali Sabuddin Abd Samad dan Pengarah Risda Kedah, M Azmi Mohd Mohid.

Sementara itu, Mahdzir berkata, KPLB melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyalurkan lebih RM50 juta bagi membangunkan pekebun kecil getah di negeri Kedah.

Katanya, penyaluran peruntukan itu memberi manfaat kepada 73,642 orang pekebun kecil getah di negeri itu.

Beliau berkata, bagi tujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil, Skim Insentif Lateks (SIL) diperkenalkan dengan bantuan berjumlah RM479,000 telah memanfaatkan seramai 165 orang pekebun kecil di daerah Baling, Sik, Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi dan juga kawasan Padang Terap.

Selain itu, kata Mahdzir, Skim Getah Matang di bawah Program Produktiviti dan Pemasaran juga disediakan dengan peruntukan berjumlah RM10.59 juta yang memberi manfaat kepada 5,801 orang pekebun kecil tahun ini.

Bantuan prasarana seperti jalan pertanian dan pembentung yang membabitkan peruntukan RM6.27 juta juga disediakan termasuk 41 projek prasarana telah dibina setakat ini di seluruh negeri Kedah.

Manakala Program Skim Getah Matang dengan peruntukan bernilai RM10.59 juta telah memberi manfaat kepada 5,801 pekebun kecil.