KUALA LUMPUR: Harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 serta diesel kekal bagi tempoh 27 Julai hingga 2 Ogos.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), RON97 akan kekal pada RM3.37 seliter, RON95 pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter.

"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA