Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengingatkan para peniaga agar mematuhi skim kawalan harga sempena Aidilfitri yang akan mula berkuat kuasa dari 20 Julai hingga 5 Ogos dan membabitkan 18 jenis barangan.

Peniaga yang gagal mematuhi skim ini akan dikenakan tindakan tegas, katanya.

Antara barangan yang dimasukkan di bawah skim itu ialah ayam hidup, ayam standard, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur ayam, cili merah, kelapa dan bawang merah serta ikan kembung.

Sementara itu kempen penurunan harga yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Jan lepas, berjaya menarik 178 pasar raya dengan 1,089 cawangan di seluruh negara setakat ini.

Hasan berkata kempen itu yang bertujuan meringankan beban yang ditanggung pengguna akibat kenaikan harga barangan melibatkan sehingga 4,000 produk.

Kempen itu menawarkan penurunan harga antara 10 dan 70 peratus, katanya kepada pemberita selepas melawat pasar raya Tesco Seremban 2, di sini hari ini.