Dakwaan kerajaan sengaja menaikkan harga siling pelitup muka menunjukkan sesetengah pihak kurang faham situasi sebenar dihadapi sejak peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap bekalan dan harga pelitup muka, yang menjadi keperluan utama rakyat ketika ini.

“Kekurangan bekalan pelitup muka dalam negara bermula pada Mac 2020 disebabkan peningkatan permintaan yang mendadak di seluruh dunia kesan penularan pandemik COVID-19.

“Pengeluaran tempatan tidak dapat menampung permintaan yang tinggi, meskipun harga siling pelitup muka ditetapkan pada harga RM0.80 sen seunit pada ketika itu.

“Hakikatnya, adalah amat sukar untuk mendapatkan bekalan pelitup muka di pasaran disebabkan permintaan yang melebihi bekalan.

“Kesannya, pelitup muka mula dijual dengan harga melebihi harga siling yang ditetapkan,” jelas kementerian itu.


Beliau berkata, kerajaan kemudian terpaksa menetapkan harga siling RM1.50 disebabkan beberapa faktor termasuk sebahagian bekalan diimport dari luar negara.

Jelasnya, kos import turut meningkat disebabkan peningkatan kos pengangkutan udara. Selain itu, harga pelitup muka di dunia turut meningkat, malah pengeluar juga menghadapi kesukaran memperoleh bahan mentah.

Beliau berkata, ketika ini, kerajaan bercadang menurunkan harga maksimum pelitup muka ke paras yang lebih rendah.

"Cadangan (KPDNHEP) harga maksimum pelitup muka (3 ply) (pembedahan/perubatan) ini diturunkan dari RM1.50 seunit kepada RM1.20 seunit.

“Ia akan dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2020. Bagaimanapun, harga ini mungkin boleh diturunkan lagi berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan dan harga pelitup muka oleh kementerian,” tambah Alexander lagi.

Bagi memastikan bekalan topeng muka mencukupi dalam pasaran, beliau menjelaskan bahawa kementerian telah mewartakan larangan eksport topeng muka melalui perintah P.U.A (88) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2020.

Katanya, hasil pemantauan terhadap lapan kilang pelitup muka tempatan dari April sehingga 28 Julai 2020, sebanyak 78 juta unit pelitup muka telah dikeluarkan dan diedarkan dalam pasaran dan tiada masalah bekalan ketika ini.