KUALA LUMPUR: Harga tiket penerbangan bagi laluan ke negeri Sabah dan Sarawak dijangka akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, pada masa ini, kerajaan Sabah dan Sarawak wajar mempertimbangkan untuk mempermudahkan protokol kesihatan bagi kemasukan penumpang ke kedua-dua negeri berkenaan.

Malah, kata beliau, tindakan itu perlu disokong menerusi peningkatan keyakinan penumpang untuk terbang ketika fasa endemik.

"Apabila kerajaan negeri Sarawak bercadang menambah kekerapa daripada 22 ke 87 penerbangan sehari, syarikat penerbangan tidak sanggup berbuat demikian kerana salah satu syarat yang dikhaskan adalah perlu ada satu pengasingan yang memberi waktu timbal (buffer time) kepada mereka untuk menguruskan penumpang.

"Dari segi penjadualan, ia tidak boleh dilakukan oleh syarikat penerbangan. Sebab itu daripada 87, hanya 50 penerbangan sehari.

"Namun keputusan terakhir, mulai 1 November, perkara ini telah kita mansuhkan di mana dengan cara ini ia dapat pulih kepada keadaan sedia kala.

"Kita boleh tambah bekalan dan permintaan akan meningkat dan dengan cara ini, barulah kita dapat kurangkan kos tambang yang begitu tinggi sekali," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu usaha kerajaan memastikan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak dari Semenanjung terus terkawal.

Jelas Ka Siong, berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun 2006, kerajaan tidak akan campur tangan dalam isu harga tiket penerbangan.

Selain itu, Ka Siong berkata, harga tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan antara satu hingga enam kali ganda lebih mahal bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 Nov 2021, berbanding harga tiket pada 2019.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini laporan itu adalah berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 27 Okt lepas.