Pelajar dan ibu bapa Orang Asli diminta menghargai sumbangan guru, Ahmad Saidin Mohd Idris, 40 tahun yang terpaksa menunggang motosikal sejauh 135 kilometer setiap hari ke sekolah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Mohd Jamalludin Kasbi berkata, pengorbanan Ahmad Saidin seharusnya dilihat pengorbanan besar seorang guru kepada pelajar Orang Asli sendiri.

"Saya ingin menyeru seluruh pelajar Orang Asli dan ibu bapa mereka, inilah pengorbanan yang dilaksanakan guru dan kita kena bayar balik dengan kecemerlangan dalam pendidikan.

"Kita ingin lihat apa yang dikorbankan guru tadi diberi hasil iaitu keputusan yang baik dalam pelajaran kita khususnya pelajar di Sekolah Kebangsaan Lenjang dan sebenarnya pencapaian pelajar Orang Asli dari setahun ke setahun memang meningkat," katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

BACA: Tambah PIPOA pastikan pendidikan Orang Asli terjamin - Ismail Sabri

BACA:
JAKOA Sedia kenderaan hantar murid Orang Asli pulang

Mohd Jamalludin mengulas tindakan Ahmad Saidin yang berulang-alik dari Kuala Medang, Lipis di Pahang, melalui jalan berlumpur dan berbukit demi tugas mendidik anak-anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Lenjang.

Apa yang dilakukan Ahmad Saidin menjadi tular di media sosial selain menerima pelbagai persepsi netizen terhadap tindakan guru sains itu sendiri.
Dalam pada itu, Mohd Jamalludin memberitahu sebarang isu melibatkan kebajikan Orang Asli akan merupakan tanggungjawab jabatannya.

Jelasnya, sebarang hal berbangkit berkenaan Orang Asli juga akan disalurkan kepada kementerian berkenaan untuk tindakan susulan.

Sebuah portal baru-baru ini melaporkan, sumbangan sejumlah RM11,956 berjaya dikumpul untuk Ahmad Saidin menukar motosikal kapcainya kepada 'scrambler' baru yang dianggarkan berharga RM10,000.

Bagaimanapun, guru berkenaan merancang untuk memberikan sumbangan yang diterimanya untuk pembelajaran 456 pelajar Sekolah Kebangsaan Lenjang.