KUALA LUMPUR: Seramai 10,205 individu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) bagi tahun 2022.

Penganugerahan dan pengiktirafan itu diberikan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai menghargai sumbangan dan penghargaan kepada setiap warga kerja kementerian berkenaan.

Daripada jumlah keseluruhan, 9,198 adalah warga ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan; 874 warga awam, manakala 133 orang pesara.

Menurut MINDEF, majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Mohamad menyempurnakan penyampaian anugerah dan pingat kepada 391 orang penerima APC dan Pingat PPT.

.

Penerima terdiri daripada penjawat awam di Wisma Pertahanan dan Unit-Unit Tentera, warga ATM serta Pesara Awam terpilih.

Jelas MINDEF lagi, baki penerima anugerah akan diselaraskan oleh negeri atau markas masing-masing.

Dalam pada itu, Mohamad dalam ucapannya menyeru agar warga kerja MINDEF untuk terus kekal cemerlang dengan sikap yang tulus, positif serta ikhlas, disamping menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja untuk lebih berusaha pada masa akan datang.

.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada para pesara agar tidak berhenti menabur jasa dan bakti kepada bangsa serta negara.

Penerima APC diberikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai bernilai RM 1,000, manakala bagi pesara awam yang bersara wajib menerima Pingat PPT, Sijil Penghargaan serta hadiah wang tunai RM600.

Bagi pesara awam yang bersara pilihan pula, mereka menerima Sijil Penghargaan dan hadiah wang tunai bernilai RM600.

Majlis bertemakan Apresiasi Melestari Khidmat Bakti dan Kecemerlangan Kementerian Pertahanan itu antaranya dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.