MALAYSIA
Hargai keamanan, ambil iktibar insiden rusuhan, peperangan di luar negara - PM Anwar

Anwar (foto) menyeru rakyat agar menghargai keamanan dan perpaduan negara, menjadikan krisis global seperti di Palestin, Ukraine dan Amerika Syarikat sebagai iktibar. -Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh lapisan rakyat supaya sentiasa menghargai nikmat keamanan serta perpaduan yang dikecapi di negara ini selama ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar menghargai keamanan dan perpaduan negara, menjadikan krisis global seperti di Palestin, Ukraine dan Amerika Syarikat sebagai iktibar.
- Beliau menekankan peranan agensi agama sebagai penggerak pembangunan negara berlandaskan nilai Islam dan akhlak mulia.
- Anwar turut menyarankan agar dasar negara termasuk bidang digital dan AI mengambil pandangan Islam sebagai panduan dalam pelaksanaannya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Merujuk kepada situasi di Palestin, Ukraine dan insiden penembakan di Utah, Amerika Syarikat yang berlaku dua hari lepas, beliau berkata insiden itu merupakan contoh bahawa dunia ini sedang bergolak.
"Dunia sekarang kucar-kacir, peperangan di Palestin, Ukraine, penembakan di Utah. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita dapat terus kekalkan keamanan dan perpaduan yang kita miliki," kata beliau.
Sementara itu Anwar berkata agensi dan jabatan agama Islam perlu tampil sebagai pencetus serta penggerak utama dalam pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih hebat, namun berlandaskan nilai Islam dan akhlak mulia.
Beliau berkata usaha itu termasuk melaksanakan transformasi ke arah digitalisasi dan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
"Saya minta supaya semua dasar negara, termasuk program pembangunan desa hingga ke bidang digital dan AI, perlu mengambil input daripada sudut pandangan Islam," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami