Pihak berkuasa polis dan tentera memperluaskan kawasan operasi memburu penceroboh dari Selatan Filipina melampaui zon empat kilometer persegi di Kampung Tanduo.

Operasi menggeledah itu hari ini masuk hari kedua selepas Ops Daulat dilancarkan pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, operasi itu diperluaskan kerana kumpulan penceroboh itu bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi untk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kita masih mengawal keadaan dan berada pada posisi yang baik (untuk menghadapi mereka)," kata Ismail dalam satu sidang media di Felda Sahabat, kira-kira 40 kilometer dari Lahad Datu

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, seorang pengganas dipercayai berjaya ditembak mati dalam satu kejadian tembak-menembak pada pukul 6.45 pagi ini.

"Sehingga kini, pasukan yang bertugas tidak mengalami apa-apa kemalangan jiwa dan kecederaan," katanya dalam satu sidang media .

Ismail bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pengikut waris Kesultanan Sulu yang terbunuh, cedera atau ditahan. Semua maklumat itu, katanya, akan diumumkan apabila operasi selesai.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan 30 lagi pengganas dari Selatan Filipina terbunuh dalam operasi semalam. Nasib ketuanya, Azzumuddie Kiram yang dianggap sebagai Raja Muda Kesultanan Sulu bagaimanapun tidak diketahui.

LAPORAN LENGKAP MENYUSUL