KUALA LUMPUR: Ada ketika, kita merasakan kehidupan yang kita lalui amat susah, namun, jika direnung kehidupan orang lain dan buka mata melihat luasnya dunia, sebetulnya, ramai orang yang hidup mereka lebih sulit berbanding kita.

Hidup sebagai gelandangan, berbelas tahun berlindung dan berteduh serta tidur di bawah pokok kecil antara kepayahan hidup yang dilalui segelintir daripada kita termasuk wanita berusia 62 tahun, Aunty Maaletchmy yang dijejaki pendakwah bebas dan dermawan terkenal, Ebit Lew.

Melihat sendiri kesukaran hidup wanita warga emas tersebut, Ebit menyifatkan hari pertemuannya dengan wanita itu sebagai “hari air mata”.

“Pilu rasa hati. Aunty Maaletchmy ini tidur di bawah pokok kecil selama 14 tahun. Kerja kutip besi. Makcik ini umur 62 tahun. Rajin kutip besi. Tiga kali saya ternampak makcik ini kutip besi.

“Cari semula dah tiada. Fasih cakap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tak sangka ada orang tidur di sini (bawah pokok) selama ini. Dengan kereta banyak lalu sebelah sini,” tulisnya di dalam laman Facebook beliau pada Selasa.

 
Sumber Facebook ebitlewofficialpage

Menurut Ebit, setiap malam wanita itu akan menolak trolinya, melelapkan mata di bawah pokok dan sebuah khemah kecil di tepi jalan.

Sebolehnya dia menyorokkan tubuhnya, tak mahu orang nampak, dia tak mahu susahkan orang, biarlah dirinya saja yang susah. Itu prinsip Aunty Maaletchmy.

“Tauke besi buruk dan beberapa orang susah yang mengenali makcik ini gembira bila saya datang. Katanya tolonglah dia, kami risau dia tidur bawah pokok saja.

14 tahun tidur di bawah pokok kecil, wanita ini tetap kuat hadapi hari-hari mendatang kerana sentiasa gembira di hatinya walau apa pun berlaku.

“Makcik ini pernah berkahwin. Lagi sedih makcik ni cerita dekat saya, kadang ada orang kacau. Katanya lelaki pernah buat tak baik padanya atau raba dia. Ramai ambil kesempatan walau dia dah tua. Katanya janji jangan pukul saya sajalah,” tambahnya.

Prihatin dengan nasib wanita tersebut - meskipun pada awalnya Aunty Maaletchmy tidak percaya - Ebit  membelikan baju baharu, menjamunya dan menyewakan sebuah rumah.

“Syukur dapat sewakan rumah di Mentari Court. Bawa sekali troli dan beg kecil milik makcik tadi. Dia menangis cakap terima kasih. Saya ingat kamu main-main. Betul kamu baik ya.

Ebit Lew sempat membeli pakaian baru buat wanita ini dan kerana dia sukakan warna hijau, semua pakaian barunya berwarna hijau.

“Selepas ini saya tak payah berlari kalau hujan lebat tengah malam. Tiada orang buat tak baik pada saya. Terima kasih ya Ustaz. Saya doakan kamu.

“Sampai 10.30 malam baru saya nak balik dapat satu kes lain pula. Sedih rasa. Begitulah ujian hidup,” tulis Ebit dalam statusnya itu.