Hari ini merupakan hari kedua umat Islam berpuasa sempena bulan Ramadan dan tentu sekali orang ramai ingin tahu di mana tempat yang enak untuk berbuka puasa.

Buat mereka dalam golongan berpendapatan sederhana, sajian buffet yang disediakan oleh hotel-hotel dijangka mendapat sambutan hangat. Wartawan kami akan menemubual mereka di dalam industri perhotelan tentang trend berbuka puasa secara mewah.

Bagi mereka yang mempunyai bajet yang ketat, anda boleh menyertai tinjauan kami menerusi www.astroawani.com – Kami ingin tahu apa yang anda boleh beli dengan RM10. Kongsi apa yang anda beli (hidangan penuh termasuk makanan utama, kuih-muih dan minuman) dengan hanya RM10. Kongsi juga di Twitter dengan hashtag #CabaranRM10.

Bulan puasa dan mercun juga tidak dapat dipisahkan (untuk sesetengah orang) walaupun pembakaran mercun diharamkan, penguatkuasaan polis telah dilaksanakan dan tindakan akan diambil oleh pihak kastam terhadap pengimport mercun namun ada sahaja kes-kes kanak-kanak kehilangan jari akibat mercun. Kes pertama pada bulan Ramadan ini berlaku pada Selasa. Wartawan kami akan menyiasat dari mana sumber mercun ini, bagaimana ia boleh diperolehi dan dijual dan bagaimana insiden berkenaan boleh berlaku.

Peranan ibu bapa juga akan disiasat.

Wartawan bisnes AWANI Najib Aroff akan mula melakukan satu siri laporan mengenai kesan-kesan pengembangan syarikat penerbangan tempatan ke rantau Asia. Beliau akan membuat laporan susulan kenyataan Malindo Air bagaimana pengembangan syarikat penerbangan itu ke Myanmar akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar negara berkenaan. Najib juga akan melihat pengembangan lapangan terbang serantau dan bagaimana ia boleh menarik syarikat-syarikat penerbangan besar dan sekaligus meningkatkan jumlah penumpang yang besar.