ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 500 petugas perubatan telah terbunuh sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada 7 Okt tahun lepas, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad sempena Hari Jururawat Antarabangsa.

"Di sini di Palestin dan di Gaza khususnya, hari ini berlalu ketika pendudukan Israel telah membunuh 138 jururawat.

"Hari Jururawat Antarabangsa tahun ini adalah luar biasa dan adalah hak kami untuk menamakan tahun ini sebagai Tahun Kejururawatan," lapor Anadolu Agency yang memetik jurucakap kementerian, Khalil al-Daqran, semasa sidang akhbar di samping satu perhimpunan aman yang dianjurkan oleh jururawat di Hospital Al-Aqsa Martyrs di bandar Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza.

"Jururawat, bidan dan pasukan perubatan adalah sebahagian daripada komponen penting masyarakat Palestin.

"Mereka adalah syuhada yang memainkan peranan nasional dan kemanusiaan mereka untuk menyelamatkan nyawa yang cedera dan sakit," kata al-Daqran.

"Mereka memenuhi sumpah profesional mereka dalam setahun iaitu rekod telah dicatatkan dalam jumlah rawatan yang diberikan dalam keadaan petugas perubatan menjadi syuhada, cedera, dipindahkan ke khemah atau ditahan di penjara perkauman Israel, dengan jumlah petugas perubatan mencapai 500 orang syahid, 1,500 cedera dan 312 ditahan," tambahnya.

Al-Daqran menyeru "komuniti antarabangsa dan orang-orang yang bebas di dunia untuk melindungi petugas perubatan dan institusi kesihatan serta menjenayahkan serangan terhadap mereka."

Beliau juga mendesak kesatuan, organisasi antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghantar pasukan perubatan dan kejururawatan bagi menyokong pasukan kesihatan di Gaza.

Lebih daripada 35,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih daripada 76,600 yang lain cedera dalam serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lepas.

Lebih tujuh bulan sejak perang Israel, sebahagian besar Gaza musnah di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Januari lalu mengeluarkan keputusan sementara memerintahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Afrika Selatan pada Jumaat meminta ICJ untuk memerintahkan Israel berundur dari bandar selatan Gaza, Rafah, sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan tambahan berhubung perang tersebut.

-- BERNAMA