KUALA LUMPUR: Menjelang tarikh keramat 31 Ogos Khamis depan, menandakan sudah 66 tahun negara ini wujud sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat dan bebas daripada belenggu penjajah serta kuasa asing.

Sepanjang enam dekad itu, pelbagai ujian dan cabaran getir dihadapi pucuk pimpinan negara dalam mentadbir serta mengurus politik, ekonomi serta sosial termasuk menyatupadukan rakyat di bawah satu 'payung' yang sama, iaitu tanah air tercinta Malaysia.

Biarpun ada ketikanya tidak sehaluan khususnya bagi sebuah negara yang berlatar belakangkan kepelbagaian budaya, agama dan bangsa, namun Hari Kebangsaan yang diraikan setiap 31 Ogos wajar menjadi wadah terbaik dalam mengukuhkan lagi perpaduan tanpa mengira apapun perbezaan termasuklah fahaman politik.

Ini perlu mencakupi semua aspek termasuk penggunaan logo dan tema yang sama dalam meraikan hari terbesar negara itu agar makna dan tujuannya seiring dengan matlamat asal sambutan, memperingati perjuangan terdahulu dan menghargai nikmat kebebasan negara.

Bagi sebuah negara berasaskan konsep Persekutuan, amat penting mempunyai satu alat perpaduan yang sama seperti slogan dan logo dalam meraikan Hari Kebangsaan yang bertujuan merapat serta memperkukuhkan rantaian perpaduan masyarakat majmuk.

Pandangan demikian disuarakan oleh Dr Lutfan Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama. Bagi mereka, adalah tidak wajar cadangan pihak tertentu untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza.

"Cadangan itu satu usaha tidak masuk akal dan sukar diterima kerana kita hidup dalam sebuah negara berasaskan konsep persekutuan. Sekiranya dilakukan juga, secara tidak langsung akan memperlihatkan keampuhan kepada elemen penyatuan dan kebersamaan," kata Lutfan.





BERCANGAH MATLAMAT ASAL



Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan', mendasari sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi seiring dengan kehidupan aman dan sejahtera.

Mendokong konsep Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tema Hari Kebangsaan itu disifatkan sebagai kunci bagi penyatuan rakyat Malaysia selain menzahirkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan yang digunakan di peringkat Persekutuan.

Menurut Lutfan, sekiranya langkah itu dilakukan, ia akan membantutkan usaha kerajaan yang kini giat memupuk semangat kesatuan, perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat negara ini khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lepas (2022).

Beliau berkata, menghayati erti kemerdekaan tidak hanya terletak kepada tema dan slogan sahaja tetapi logo juga turut memainkan elemen penting dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat dalam bentuk yang mudah difahami.

Walaupun negara mengamalkan sistem demokrasi dan membenarkan kebebasan bersuara, namun mereka harus mengetahui ada batas yang perlu dijaga dalam mengeluarkan pandangan mahupun cadangan.

Menegaskan perkara yang sama, Yang DiPertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali berkata, amat penting batas itu dijaga bagi mengelakkan pelbagai perkara sensitif yang boleh menimbulkan perbalahan dan kekeliruan rakyat sehingga mengganggu-gugat keharmonian negara.

"Kita harus mengenal-pasti hak kita dalam memberi sesuatu kenyataan dan cadangan... di peringkat negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri bertanggungjawab melaksanakan hal berkaitan pembangunan negeri.

"Manakala Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar dan Yang di-Pertua Negeri adalah merupakan ketua tertinggi bagi sesebuah negeri... seharusnya, kita perlu merujuk cadangan ini kepada pihak berkenaan untuk mendapat perkenan kerana ketua tertinggi inilah yang akan turut turun bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, apabila wujud perbezaan tema dan logo Hari Kebangsaan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri ditadbir pembangkang, menunjukkan berlakunya perbalahan dan sewajarnya ini dielakkan supaya keharmonian kedua-dua pihak (kerajaan persekutuan dan negeri) terjalin dan tidak mencemarkan sambutan hari penting itu.





PERKASA AGENDA PERPADUAN



Sementara itu, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin berkata, pemerkasaan agenda perpaduan perlu digembleng secara menyeluruh bagi menjamin kestabilan dan keamanan negara dalam mendepani situasi yang semakin mencabar termasuk ketidaktentuan ekonomi global.

Saluran media sosial dilihat sebagai platform terbaik dalam memupuk sikap kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat yang terbukti berkesan digunakan dalam PRN baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan boleh menggunakan pendekatan seperti itu dalam mengukuhkan perpaduan dengan melaksanakan kempen atau iklan pendek yang berasaskan keharmonian dan penyatuan masyarakat majmuk di negara ini menerusi platform berkenaan.

"Impaknya amat ketara dalam memberi pengaruh kepada rakyat, apatah lagi apabila ada yang menggunakan pempengaruh dalam menjalankan kempen parti,'' katanya.

Tidak hanya kerajaan, masyarakat juga khususnya golongan belia boleh melakukan perkara sama dalam memperkasakan agenda perpaduan negara seiring dengan aspirasi kerajaan mengukuhkan permuafakatan serta mewujudkan kestabilan.

Teknologi di hujung jari ini membolehkan banyak gerakan positif dapat digemblengkan generasi muda bagi membentuk Malaysia ke arah yang lebih baik.

"Masyarakat negara ini unik dari segi budaya, adat dan bahasanya. Ini istimewanya Malaysia dan perlu dipromosikannya menerusi media baharu dan pempengaruh yang terdiri daripada anak-anak muda harus bersama-sama berkempen menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan Hari Kebangsaan," katanya.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff



-- BERNAMA