KUALA TERENGGANU: Tindakan secara kolektif oleh semua lapisan masyarakat sangat diperlukan untuk menyelamatkan lautan yang semakin terancam ketika ini.

Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat berkata, data saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbaharu menunjukkan populasi ikan bersaiz besar telah berkurangan sebanyak 90 peratus.

"Selain itu, data tersebut juga menunjukkan kemusnahan terumbu karang terus meningkat sebanyak 50 peratus. Kita telah mengeksploitasi lautan lebih daripada yang boleh diisi semula manakala kepesatan pembangunan fizikal di muka bumi telah mengakibatkan kesan yang buruk kepada lautan.

"Pemanasan global juga telah mengakibatkan perubahan iklim melampau yang mendadak. Apabila lautan menjadi panas, lebih banyak air meruap ke atas menjadi kelompok awan yang akhirnya membentuk taufan besar dan ribut kuat yang melanda pantai serta memusnahkan penempatan dan infrastuktur," katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Laut Sedunia 2022 hari ini.

Wan Izatul Asma berkata, atmosfera panas juga mengakibatkan glasier dan pek salji di pergunungan serta perisai ais di Antartika menjadi cair seterusnya menyebabkan peningkatan paras air laut yang mengancam kawasan pesisiran pantai Malaysia.

Beliau berkata situasi itu sangat membimbangkan kerana peranan lautan kepada bumi sangat besar iaitu menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus oksigen, menjadi habitat semula jadi kebanyakan sumber biodiversiti bumi dan merupakan sumber protein utama kepada penduduk dunia.

"Pendek kata, lautan adalah kunci kepada kehidupan dan sumber ekonomi dunia dengan anggaran 40 juta individu bergantung hidup di dalam industri berasaskan lautan menjelang 2030," katanya.

Oleh itu, beliau berkata penglibatan komuniti tempatan juga sangat penting dalam memastikan usaha menyelamatkan lautan dapat dilaksanakan secara berkesan.

"Contohnya, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat telah menyarankan 10 langkah bagi masyarakat untuk menyelamatkan lautan seperti menjimatkan penggunaan air, mengurangkan bahan pencemar dan melaksanakan sistem penangkapan ikan secara bertanggungjawab.

"Selain itu, masyarakat digalakkan menjadi sukarelawan untuk pembersihan pantai serta kawasan tadahan hujan dan memastikan bot berlabuh di kawasan berpasir jauh dari karang dan rumput laut," katanya.

-- BERNAMA