MALAYSIA
Hari Malaysia lakar masa depan negara bangsa dan semangat Malaysia MADANI - Chow

Chow berkata Hari Malaysia ialah kisah rakyat daripada berbeza latar bangsa, budaya, bahasa dan agama menjadi satu yang mana saling belajar hidup bersama, membina harapan serta mengejar cita-cita yang sama. - Gambar Bernama
BUTTERWORTH: Hari Malaysia bukan sekadar perayaan tahunan, sebaliknya kisah perjuangan, pengorbanan dan penyatuan sekali gus meneguhkan janji untuk terus melakar masa depan negara bangsa.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Hari Malaysia juga ialah kisah rakyat daripada berbeza latar bangsa, budaya, bahasa dan agama menjadi satu yang mana saling belajar hidup bersama, membina harapan serta mengejar cita-cita yang sama.
"Hari Malaysia 1963 menyatukan semua negeri, menyatukan kemajuan dan pembangunan mampan. Kemajuan Malaysia adalah kejayaan setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
"Sebagaimana dua jambatan Pulau Pinang menghubungkan pulau dan tanah besar, demikianlah Malaysia menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu ikatan kukuh yang tidak mungkin terlerai," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2025 di di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini malam ini.Beliau menyifatkan Pulau Pinang hari ini berdiri megah dan penuh rasa syukur kerana dipilih sebagai tuan rumah sempena sambutan tahun ini.
"Saya bersama-sama 1.7 juta rakyat negeri ini dengan penuh rasa hormat serta kasih sayang, mengalu-alukan kedatangan para tetamu dari Sabah, Sarawak dan seluruh Semenanjung ke Pulau Mutiara bagi sama-sama meraikan detik bersejarah ini," katanya.
Sementara itu, Chow berkata seiring gagasan Penang2030, Pulau Pinang sedang melangkah ke hadapan dengan beberapa projek mega seperti Pulau Silikon yang bakal menjadikan Malaysia peneraju semikonduktor global.
Selain itu, beliau berkata projek Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) membuka jalan kepada sistem pengangkutan yang moden, lebih efisien dan mesra alam manakala Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) pula menjadikan negeri itu sebagai sebuah pusat inovasi, keusahawanan dan kewangan serantau berpaksikan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut hadir.
Edisi kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami