Skip to main content

Malaysia

Hari Malaysia: Lee Lam Thye seru rakyat perbaharui komitmen terhadap perpaduan, kemakmuran

Sumber: BERNAMA
Lee berkata, ketika negara berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos sara hidup, perpecahan sosial, maklumat palsu dan dunia yang berubah dengan pantas, rakyat Malaysia mesti bersatu padu dan bukannya membiarkan perbezaan memecahbelahkan mereka. - Gambar hiasan/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tokoh Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye menyeru rakyat Malaysia supaya memperbaharui komitmen untuk membina sebuah negara yang bersatu padu, aman, inklusif dan makmur untuk semua bersempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata, kepelbagaian Malaysia sentiasa menjadi kekuatan terbesar negara, dengan perbezaan dari segi kaum, agama, budaya dan latar belakang menjadi sumber kekuatan, sikap saling menghormati serta kebanggaan nasional.

Lee berkata, ketika negara berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos sara hidup, perpecahan sosial, maklumat palsu dan dunia yang berubah dengan pantas, rakyat Malaysia mesti bersatu padu dan bukannya membiarkan perbezaan memecahbelahkan mereka.

“Perpaduan bukan sekadar slogan. Ia mesti dizahirkan melalui cara kita melayan satu sama lain, cara kita menyelesaikan perbezaan dan cara kita berkongsi peluang serta tanggungjawab negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemakmuran juga mestilah bermakna dan inklusif, dengan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada taraf kehidupan yang lebih baik, pekerjaan berkualiti, kos sara hidup yang mampu ditanggung, masyarakat yang lebih selamat serta peluang yang lebih luas untuk setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau latar belakang.

“Kita juga mesti memastikan tiada negeri atau masyarakat yang berasa tersisih. Sabah dan Sarawak, khususnya mesti terus menjadi rakan kongsi yang penuh dan setara dalam perjalanan Malaysia manakala kesejahteraan setiap masyarakat di seluruh Persekutuan mesti kekal sebagai keutamaan negara,” katanya.

Lee berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjunjung integriti, keadilan dan akauntabiliti manakala rakyat pula berperanan dalam memelihara keharmonian, menghormati undang-undang, menolak ekstremisme dan maklumat palsu serta menyumbang secara positif kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement